Rabu, 14 September 2011

Pengurus besar KTMB hadapi 5 tuduhan rasuah

MALAYSIA KINI


Pengurus besar pengurusan projek Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Tajuddin Mohd Yusoff, tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini terhadap lima pertuduhan menerima rasuah.

Tajuddin, 54, dituduh menerima lima keping cek kesemuanya berjumlah RM33,000 dari seorang pengarah syarikat pembinaan melalui lima keping cek, masing-masing bernilai RM6,600, lima tahun lepas.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Jalan KTMB, dikatakan menerima wang tersebut dari pengarah syarikat Sureman Sdn Bhd, Mohamed Salleh bagi membayar pinjaman overdraft syarikat Intiwangi Sdn Bhd milik tertuduh.

Menurut kertas pertuduhan, Sureman telah diberikan kontrak daripada jabatan tertuduh bertugas bagi kerja pembaik pulihan landasan kereta api di antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau (Fasa 2) serta Yard Tumpat di Kelantan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank beralamat 75, Jalan Tun H.S Lee, di sini antara 27 Mac 2006 dan 6 Oktober 2006.

Tajuddin didakwa mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan alasan jumlah itu memadai dengan kesalahan yang didakwa ke atas tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kepada antara RM5,000 dan RM6,000 dengan seorang penjamin memandangkan dia perlu menanggung persekolahan anaknya dengan gaji bulanan yang kurang daripada RM15,000 serta isterinya adalah seorang suri rumah.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 14 Okt ini untuk sebutan semula kes dan bagi tertuduh melantik peguam.- Bernama

Tiada ulasan: