Isnin, 12 September 2011

Pengarah filem enggan lagi menjadi rakan subahat kepada kerajaan

Chen Shaua Fui


"Pandangan saya sebelum ini adalah, negara ini akan menjadi baik seandainya kita melakukan kerja masing-masing dengan baik. Justeru itu, sebagai seorang pengarah filem, saya hanya mahu membikin filem yang baik. Namun, saya mendapati lambat laun kita menjadi majoriti yang berdiam diri (silent majority). Dan golongan majoriti yang berdiam diri inilah, mungkin menjadi rakan subahat kepada kerajaan tanpa disedari."

Demikianlah kata-kata pengarah filem, Tan Chui Mui (gambar kanan) yang kini melibatkan diri dalam gerakan membantah pembinaan kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan. Anak tempatan Kuantan ini memaklumkan isu Lynas kepada sahabat handainya, dengan harapan agar ia mencungkil perhatian mata dunia.

Tan Chui Mui melihat dirinya sebagai seorang pembikin filem, lebih daripada sebagai seorang aktivis sosial. Dalam tulisan weibo-nya, berjudul "Mengapa menjadi sebegini?", beliau merenungi semula fikiran dirinya sebelum ini, "Saya tidak bersuara ketika berlakunya kebocoran sisa radioaktif di Bukit Merah. Saya tidak bersuara ketika pembinaan insinerator di Broga. Saya juga tidak bersuara ketika perlombongan emas menggunakan cyanide di Raub. Saya hanya tampil bersuara kini apabila kilang nadir bumi mahu dibina di Kuantan. Pandangan saya sebelum ini adalah, negara ini akan menjadi baik seandainya kita melakukan kerja masing-masing dengan baik. Justeru itu, sebagai seorang pengarah filem, saya hanya mahu membikin filem yang baik. Namun, saya mendapati lambat laun kita menjadi majoriti yang berdiam diri (silent majority). Dan golongan majoriti yang berdiam diri inilah, mungkin menjadi rakan subahat kepada kerajaan tanpa disedari."

Membantah Lynas dengan filem

Justeru itu, Tan Chui Mui mengambil keputusan untuk membantah projek ini dengan bahasa yang paling fasih dikuasai dirinya, iaitu filem. Dalam tulisan weibo-nya pada 30 Ogos 2011, beliau berkata, "Pada asalnya saya akan terbang ke Beijing pada malam ini. Namun saya berada di Old Town, Brickfields sekarang - memikirkan untuk balik atau tidak, pergi atau tidak."

"Ada orang membina kilang nadir bumi terbesar di dunia di tempat kampung saya, mungkin boleh dimulakan operasinya akhir tahun ini. Jumlah sisa radioaktif yang besar akan dihasilkan kelak. Seandainya saya masih tidak melakukan sesuatu, saya tidak akan memaafkan diri saya."

Menurut Tan, beliau tidak terfikir untuk melakukan apa-apa ketika itu. "Saya membatalkan acara saya di Beijing, saya berjumpa dengan ramai sahabat saya, untuk membincangkan strategi. Saya mula menulis surat kepada sahabat saya, memaklumkan apa yang berlaku di kampung saya. Saya berharap agar masalah alam di Malaysia boleh mendapat perhatian dunia."

"Ramai kawan yang menyertai usaha ini, termasuk Lau Seng Tat. Kami mengambil keputusan untuk membikin beberapa filem pendek, supaya lebih ramai warga Malaysia memberi perhatian dan mengambil tindakan," katanya.

Usaha Tan Chui Mui mencungkil perhatian Shunji Iwai (gambar kanan, sebelah kiri), pengarah filem Jepun. Kampung asal Shunji Iwai, iaitu Sendai ditimpa malapetaka lantaran tsunami, kini sedang membikin sebuah dokumentari berjudul Friends after 3.11, dan beliau akan merakamkan ancaman sisa radioaktif daripada kilang nadir bumi.

Matlamat gerakan membantah kilang nadir bumi adalah jelas, iaitu menghentikan pembinaan kilang ini, kata Tan Chui Mui.

"Namun demikian, meskipun kilang nadir bumi ditutup, masih banyak lagi ancaman di negeri Pahang. Mampukah saya habiskan kesemua ini? Untuk menyelesaikan masalah alam, kita perlu menyelesaikan akta alam sekitar dan membanteras rasuah terlebih dahulu. Untuk menyelesaikan masalah akta alam dan rasuah, kita perlu menukar kerajaan dalam PRU akan datang. Untuk menukar kerajaan, kita memerlukan pilihan raya yang bersih," jelasnya.

"Pokoknya, matlamat saya adalah untuk menukar kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang. Memadailah jikalau kita sampai ke peringkat itu. Saya nak membikin filem, bukan terlibat dalam gerakan sosial."

Ketika diwawancara MerdekaReview melalui email, Tan berkata bahawa dirinya tahu projek ini sejak dua tahun yang lalu, yang mana kebanyakan informasinya datang daripada kakaknya. Beliau telah berpindah ke Beijing pada tahun lalu, dan tulisan Lee Chean Chung, menjadi sumber maklumatnya dalam isu ini. Lee Chean Chung ialah kolumnis MerdekaReview, juga Ketua Ranting Air Putih dan Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota Parti Keadilan Rakyat.

Tan Chui Mui kembali ke tanah air dari Beijing pada awal September 2011, berjumpa dengan ahli jawatankuasa "Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas". "Secara jujur, saya amat terharu. Penduduk Kuantan sudah biasa dengan kehidupan yang tenteram, malah bersikap dingin terhadap politik. Kini mereka berubah menjadi aktivis sosial yang bersemangat tinggi dalam masa sekelip mata, dari rakyat jelata yang tenang hidup mereka. Malah ada yang bersedia untuk berjuang berhabis-habisan demi mempertahankan Kuantan. Keadaan ini gagal dibayangkan setahun sebelum ini."

Ketika ditanya sama ada seseorang karyawan perlu berprihatin terhadap masyarakat, Tan berterus-terang, "Jawapannya boleh jadi 'perlu' atau 'tidak perlu'. Ia bergantung kepada bagaimana kamu mendefinisikan 'karya' dan 'masyarakat'. 'Keprihatinan masyarakat', kononnya, sentiasa menjurus kepada karya yang abstrak, yang mengutamakan ideologi. Ada kalanya ia menjadi alat propaganda sebaliknya, malah meracuni fikrah manusia."

"Saya mengangap apa yang paling berharga untuk seseorang karyawan, adalah menjadikan manusia hidup umpama manusia. Saya suka karya yang mudah, menyentuh hati orang secara langsung. Sememangnya, ia mungkin berakhir dengan keprihatinan terhadap masyarakat," katanya, yang menganggap dirinya tidak memiliki keprihatinan terhadap masyarakat.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal. Foto Tan Chui Mui dibekalkan dirinya.

Tiada ulasan: