Sabtu, 10 September 2011

Pemandu letak kenderaan di laluan kecemasan akan dikenakan saman

KENINGAU KINI

KENINGAU: Polis di sini tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemilik kenderaan atau pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di laluan kecemasan dan selekoh yang menghalang laluan kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Supritendan Polis (DSP) Zahari Mohamed berkata, polis tetap mengeluarkan saman kepada kenderaan yang diletakkan di luar petak letak kereta.

“Jika kenderaan itu diletakkan dan menghalang laluan seratus peratus, kita tidak pilihan selain menyamannya,” katanya kepada media ketika ditemui pada program bertemu pelanggan IPD di sini kelmarin.

Justeru itu katanya, polis menasihatkan orang awam di daerah ini agar meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta yang disediakan.

Walau bagaimanapun katanya, penguatkuasaan saman dilaksanakan secara berhemah dengan memberi peluang kepada mereka yang disaman membuat rayuan.

Mengulas rungutan awam termasuk kakitangan hospital tentang saman yang dikenakan kepada kenderaan yang diletak di kawasan hospital Zahari berkata, anggotanya dari Cawangan Trafik terpaksa menyaman kerana permintaan dari pihak pengurusan hospital.

“Jika kenderaan berkenaan diletakkan di kawasan Bahagian Kecemasan Hospital ia wajar disaman kerana menghalang laluan kenderaan yang menghantar pesakit yang dirujuk di bahagian kecemasan,” jelas Zahari.

Mengenai dengan lalu lintas di kawasan Pekan yang didakwa oleh pengguna mengelirukan kerana terdapat beberapa simpang keluar masuk yang mengelirukan Zahari berkata, ia adalah terletak dalam bidangkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di daerah ini.

“Polis hanya menjalankan tugas apabila diminta oleh PBT menguatkuasakan peraturan yang ada” katanya.

Menjelaskan tujuan program PDRM bertemu pelanggan Zahari berkata, ia bertujuan merapatkan hubungan polis dan masyarakat setempat termasuk pemimpin-pemimpin masyarakat.

Katanya, dalam program ini polis akan memberi khidmat nasihat kepada orang awam dan membantu menyelasaikan kes atau perkara yang ringan.

“Dalam program ini kita juga akan menjelaskan kerjaya polis kepada orang awam agar mereka lebih memahami kerjaya polis” katanya.

Ketua Polis Daerah itu memberitahu, Program Bertemu Pelanggan PDRM IPD Keningau diadakan dua kali sebulan iaitu setiap Khamis minggu pertama dan Sabtu minggu ketiga.

Katanya, orang awam yang datang dalam program ini akan dilayan Pegawai-Pegawai Kanan IPD dari setiap Bahagian. -nst-

Tiada ulasan: