Selasa, 27 September 2011

PAS: ‘Situasi kritikal boleh diatasi, Pakatan kena berjiwa besar’


KUALA LUMPUR — Meskipun Pakatan Rakyat berhadapan dengan situasi kritikal ekoran kemunculan semula isu hudud, PAS yakin ia boleh diatasi bersandarkan semangat perikatan tiga parti itu, kata salah seorang naib presidennya.

PAS dan DAP terus bertembung ekoran pendirian keras masing-masing berhubung isu pelaksanaan undang-undang hudud.

Terbaru semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi kata dua keseluruhan kepimpinan parti itu akan meletakkan jawatan jika pelaksanaan hukum hudud dipaksa dimasukkan ke dalam rangka kerja Pakatan Rakyat.

Justeru, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) menegaskan, pihaknya melihat tiada sebab kerjasama dan gandingan di kalangan komponen Pakatan Rakyat yang telah dibentuk tidak boleh diselesaikan dengan baik.

“Walaupun ada yang menganggap ini sebagai keadaan yang kritikal, kita masih boleh berbincang dan mengatasinya. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Kalau kita tidak boleh menyelesaikan hari ini, kita boleh selesaikan esok, kalau tidak hari ini, esok... saya yakin kita boleh bincang dan mencari penyelesaian,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Walau apa pun yang berlaku sekarang ini, kami dalam Pakatan Rakyat tidak harus merosakkan satu ikatan yang baik, kukuh yang telah pun dibentuk dalam tempoh yang singkat,” kata beliau merujuk kepada perikatan tiga parti itu yang dijadikan badan formal selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Pakatan Rakyat telah mengadakan dua konvensyen dengan menerima pakai dasar bersama dan Buku Jingga, katanya.

“Kami telah mencipta sejarah dengan mengadakan kesepakatan ini, rakyat mengharapkan kesepakatan ini diteruskan... tiada parti yang bebas daripada masalah dan rasa tidak puas hati,” kata beliau sambil menambah, situasi tidak berpuas hati adalah perkara biasa dalam mana-mana perikatan parti politik.

“Pakatan Rakyat masih baru, usianya tidak sampai lima tahun pun. BN yang sudah 50 tahun dengan begitu banyak parti pun tidak bebas daripada masalah, mereka pun ada isu dan masalah... jadi ini perkara biasa,” kata Salahuddin lagi.

Sambil meminta parti-parti komponen bersabar menghadapi perkembangan terbaru ini bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tidak timbul soal PAS tunduk dalam kontroversi semasa ini.

“Tak timbul ada parti yang tunduk atau ada parti yang terikat dengan parti lain... tidak. Isu itu tidak timbul,” tegas beliau.

“Sebaliknya kita harus berjiwa besar untuk bertolak ansur dan mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan keseluruhan kepimpinan parti itu akan meletakkan jawatan jika pelaksanaan hukum hudud dimasukkan ke dalam rangka kerja Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu dibuat ketika kepimpinan dijadual mengadakan mesyuarat Rabu ini untuk membincangkan isu yang sudah lama berlarutan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga akan mengadakan satu sidang media di ibu negara petang ini.

Lim menekankan bahawa Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PAS dan PKR dibentuk berdasarkan dasar bersama dan persefahaman, khususnya dalam isu-isu berkaitan dengan usaha melawan rasuah dan mempertahankan keadilan.

Hukum hudud, kata beliau, tidak pernah dimasukkan ke dalam rangka kerja bersama Pakatan Rakyat atau Buku Jingga, dan oleh itu tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada agenda perikatan itu.

Malah semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya akan menyelesaikan isu terbaru membabitkan hasrat PAS mahu mengadakan hukum hudud pada mesyuarat kepimpinan perikatan itu minggu ini.

Kelmarin, Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh menggesa Pakatan Rakyat memanggil mesyuarat tergempar kepimpinan dengan segera bagi menyelesaikan kontroversi ini.

Karpal yang sebelum ini secara terbuka mengkritik hasrat kerajaan negeri Kelantan menegaskan, pihaknya akan sentiasa menolak pembentukan negara Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kelewatan menangani isu semasa ini akan menjejaskan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Islam.

Khamis lalu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 berkata, beliau lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud.

Tiada ulasan: