Selasa, 13 September 2011

PAS mahu cukai telekomunikasi 6% dibatalkan

Jika sistem cukai ini diteruskan, golongan yang paling menerima kesan adalah golongan muda, pelajar dan golongan berpendapatan rendah.



PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan Tantawi dalam mahukan cukai tersebut dibatalkan atas alasan bahawa ia membebankan rakyat.

“Jika sistem cukai ini diteruskan, golongan yang paling menerima kesan adalah golongan muda, pelajar dan golongan berpendapatan rendah yang terpaksa mengikat perut menghadapi kos sara hidup yang makin tinggi, berbanding pihak kerajaan yang terus mengaut hasil cukai atas keperitan rakyat.

“Pemuda PAS juga berpendapat, impak langsung cukai ini kepada golongan pengguna adalah sama dengan impak cukai cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyatan media hari ini.

Kenyataan ini timbul ekoran pengumuman syarikat telekomunikasi Maxis, Digi, Celcom dan Unifi pada hari Khamis lalu bahawa pembelian transaksi tambah nilai dan pembelian pek permulaan akan dikenakan cukai perkhidmatan 6% mulai 15 September.

Bagaimanapun, semalam Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Sri Dr Rais Yatim mengumumkan bahawa perlaksanaan cukai telah ditangguhkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia akan menentukan masa terbaik melaksanakannya.

Meraih keuntungan berlebihan

Nasrudin turut melahirkan kebimbangan syarikat telekomunikasi berkenaan akan mengambil kesempatan meraih keuntungan berlebihan.

“Pihak kami menggesa pihak kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab memperkenal dan mengutip hasil cukai ini agar tidak mengambil kesempatan untuk mengaut laba daripada penggunaan telekomunikasi yang tidak anjal (inelastic demand) dan mengharapkan cukai perkhidmatan 6% ini terus dimansuhkan sebagai tanda prihatin kepada generasi muda di dalam Bajet 2012 yang akan diumumkan pada Oktober ini,” kata Nasrudin.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mengecam perlaksanaan cukai 6% tersebut kerana bertentangan dengan Akta Pertandingan 2010 yang akan dikuatkuasakan dalam bulan Feruari 2012.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berpendapat bahawa penangguhan pelaksanaan cukai tersebut mungkin gimik pilihanraya.

“Adakah ini bermakna penangguhan ini hanyalah sehingga Pilihanraya Umum ke-13 dipanggil untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri?” soal Rafizi.

Rafizi turut mencabar Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak mengumumkan pengecualian khidmat telekomunikasi prabayar yang digunakan oleh majoriti golongan berpendapatan rendah dan orang muda kerana ia akan membantu mengurangkan beban kos hidup.

Tiada ulasan: