Jumaat, 23 September 2011

Pakatan perlu waspada taktik Umno BN alih isu

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk bertindak secara lebih bijaksana dalam menghadapi teknik alih perhatian Umno Barisan Nasional (BN) supaya isu-isu utama yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat tidak ditenggelamkan begitu saja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata muktahir ini, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Dalam menghadapi PRU yang semakin hampir, kata beliau, rakyat sedang dan akan bakal saksikan bagaimana media perdana akan menggiatkan usaha untuk mengalihkan perhatian mereka sehingga isu-isu utama yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat tenggelam dengan isu-isu yang sengaja diwujudkan.

Katanya, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata Umno BN untuk lima dekad yang lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka.

Selain mengalihkan perhatian, kata beliau sebenarnya tujuan asal BN sengaja mewujudkan isu ialah supaya rakyat lupa bahawa mereka perlu menjawab sesuatu isu besar yang dibangkitkan.

“Teknik ini sentiasa digunakan tidak lain tidak bukan kerana BN mempunyai kuasa mutlak terhadap media perdana.

“Dulu ia sememangnya berkesan, akan tetapi pada zaman teknologi sekarang keberkesanannya boleh dikurangkan secara drastik bergantung kepada kebijaksaan Pakatan Rakyat menghadapi teknik ini,” kata beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu, antaranya ucapan Mohamad Sabu, isu bendera, isu hudud, isu sejarah kemerdekaan bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Isu sedemikian, kata beliau sengaja diwujudkan oleh Umno BN untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran.

Demikian juga, isu warga asing yang diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai GST yang akan dilaksanakan selepas PRU ke 13, isu akta yang akan menggantikan ISA.

“Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk PRU ke 13 kerana ianya mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan walaupun ada-kalanya terpaksa jawab isu-isu yang sengaja dibangkitkan, namun pada masa yang sama para pemimpin Pakatan Rakyat harus terus menekankan isu-isu utama yang membabitkan rakyat sehingga BN terpaksa menjawabnya.

“Oleh itu, dalam masa menjawab tuduhan dan isu yang sengaja diwujudkan, Pakatan Rakyat mesti lebih bijaksana mengambil peluang untuk mengungkit semula isu-isu utama ini supaya rakyat tidak hilang fokus dan terpengaruh dengan taktik alih perhatian BN,” nasihat beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan Pakatan Rakyat untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi isu-isu yang sengaja dibangkitkan Umno BN.

Ini kerana, katanya isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi mereka supaya terus berbalah dengan Umno BN dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim turut menyeru Pakatan Rakyat untuk tidak terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi mengalih perhatian kepada isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat dan menumpukan perhatian untuk memastikan seluruh jentera parti dapat menumpukan kepada persiapan akhir untuk pertarung PRU-13 dengan mengemaskinikan segala maklumat penting.

Katanya, bilik gerakan mestilah dibuka segera, semakan daftar pemilih mesti dilakukan dan semangat pekerja-pekerja jentera parti mesti berada pada tahap optimum.

Tambahnya, tindakan segera bagi mengesan kelemahan jentera dan pembekalan peralatan pilihanraya juga mesti disiapkan segera.

“Kewangan dan dana pilihanraya mesti dikeluarkan dan dijana segera bagi melengkapkan peralatan asas yang perlu disediakan,” nasihat beliau.

Selain itu, katanya gerak kerja rayuan undi, semakan daftar pemilih, peralatan pilihanraya dan cara penerangan isu-isu semasa semua parti mesti dilengkapkan sebelum parlimen dibubarkan.

“Gunakan dana pilihanraya di semua peringkat sekarang, bukan setelah parlimen dibubarkan. Segala-galanya akan berubah bilamana parlimen bubar.

“Untuk itu, jangan terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi melekakan kita dari tugas sebenar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang,” nasihat beliau lagi.

Tiada ulasan: