Jumaat, 9 September 2011

MTUC simpati nasib pekerja MAS, sokong piket diputuskan 25 Sept


KUALA LUMPUR — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada dasarnya menyokong pendirian tiga kesatuan pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang mahu berpiket berhubung perjanjian kerjasama MAS-AirAsia dan keputusan akhir ke atas tindakan perhubungan industri itu akan dimuktamadkan akhir bulan ini.

Presiden MTUC Khalid Atan berkata, isu yang dihadapi oleh kesatuan-kesatuan sekerja MAS akan dibincangkan pada mesyuarat majlis am kongres pada 25 September ini.

Tiga kesatuan pekerja-pekerja MAS yang mewakili kira-kira 15,000 pekerja akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan dan berpendapat bahawa janji niaga MAS-AirAsia tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baru syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baru dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan.

“Saya sudah dimaklumkan masalah mereka, sudah pasti ia akan dibincangkan pada mesyuarat majlis am MTUC, jika dipersetujui kami akan menyokong tindakan piket mereka nanti,” katanya.

“Keputusan akhir perlu diputuskan oleh majlis am, ia keputusan bersama, bukan saya seorang sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Khalid berkata, maklumat yang beliau terima menunjukkan pengurusan baru tidak merujuk kepada kepimpinan kesatuan-kesatuan sekerja sebelum mengambil tindakan, misalnya memindahkan 80 peratus tenaga kerja ke penerbangan baru yang dinamakan Sapphire.

“Seramai 80 peratus pekerja MAS akan dipindahkan ke syarikat baru, tinggal 20 peratus dalam organisasi lama ... tindakan ini mengikut kesatuan sekerja adalah tidak sihat... mereka tidak gembira kerana perkara ini tidak dibincang dengan mereka, malah khuatir ia juga akan menjejaskan tahap kekananan seseorang pekerja,” kata beliau lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja MAS Semenanjung Malaysia (Maseu), Abdul Malek Arif mendakwa kesatuan itu menjangkakan hampir 80 peratus pekerja syarikat itu akan dipindahkan ke syarikat penerbangan baru Sapphire.

Katanya, langkah sedemikian akan menjejaskan keahlian kesatuan dan memberi kesan ke atas keupayaan mewakili tenaga kerja.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi, MAS melahirkan rasa kecewa ekoran laporan media bahawa kesatuan-kesatuan sekerjanya mahu mengadakan ancaman tindakan piket.

Menurut MAS, Maseu, Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak dan Kesatuan Sekerja Penerbangan Sabah turut dilibatkan dalam pelbagai urusan berkaitan Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF).

MAS berkata ia telah dan akan terus melibatkan kesatuan. Malah ia juga berkata pengurusan kini bekerja keras untuk menyelesaikan butiran penggabungan dan akan mengumumkannya secara rasmi, tertakluk kepada kelulusan pengawal aturan, pada masa yang sesuai.

Semalam tiga kesatuan itu mempunyai keanggotaan seramai 15,000 orang mengumumkan anggotanya akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan AirAsia.

Presiden Maseu Alias Aziz dilaporkan berkata mereka berpendapat bahawa janji niaga itu tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baru syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baru dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan.

Tiada ulasan: