Ahad, 4 September 2011

MB Kedah tak perlu pemangku, kata Azizan

MALAYSIA KINI


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan pemangku bagi membantu beliau mentadbir negeri itu berdasarkan situasi kesihatannya pada masa ini.

azizan abdul razak pas and kedahAzizan berkata, selama ini pun beliau bukan menjalankan tugas berseorangan tetapi sudah lebih tiga tahun mentadbir negeri ini dengan dibantu barisan exco kerajaan negeri yang dilantik.

Malah, menurut Azizan beliau cukup kuat untuk menjalankan tugas selaku ketua pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang dilakukannya sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kedah pada pilihan raya umum 2008 lalu.

“Bagi saya sebagai menteri besar, saya tengok apa yang ada sudah elok. Barisan exco telah menjalankan tugas dengan baik,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.

“Kecuali pada pandangan PAS Pusat saya buat kerja tidak elok, itu hak merekalah nak tolong Kedah ini,” katanya di Yan, semalam.

Azizan bekata demikian bagi mengulas kenyataan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang disiarkan dalam sebuah portal berita bahawa pimpinan PAS Pusat akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PAS negeri bagi membincangkan perkara itu berikutan laporan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris kelmarin.

Laporan akhbar berkenaan antara lain menyebut mengenai pelantikan pemangku menteri besar bergantung kepada tahap kesihatan Azizan.

Mengenai cadangan Pemuda Gerakan Kedah agar diwujudkan jawatan timbalan menteri besar bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terjejas jika pimpinan tertinggi kerajaan negeri tidak dapat berfungsi bagi suatu tempoh yang panjang, Azizan berkata, perkara itu tidak boleh dilaksanakan sesuka hati.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, jika seseorang menteri besar itu sudah tidak mampu untuk menjalankan tugasnya, perkara berkenaan perlu dimaklumkan kepada Sultan Kedah.

Selepas itu, barulah parti pemerintah kerajaan negeri semasa boleh mencadangkan kepada Sultan Kedah mengenai pelantikan baru.

“Persoalannya, sekarang ini saya cukup kuat. Saya tidak tahu tang (bahagian) mana saya tidak mampu. Cuti bukan satu masalah. Saya akan terus menjalankan tugas selagi diberi amanah oleh PAS Pusat untuk mengetuai Kedah,” katanya.

Tiada ulasan: