Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Amat malang sekiranya pengumuman memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersifat populis untuk meraih undi dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Dalam konteks ini, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan tidak mahu melihat rakyat terperangkap dalam permainan politik dilihat semakin rencam dan mengelirukan rakyat. “Sekiranya inilah yang sebenarnya berlaku, Abim khuatir ia akan mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap ketelusan pemerintah yang sekaligus menjejaskan integriti serta keabsahan pihak berkenaan dalam melaksanakan agenda transformasinya. Katanya, adalah amat penting agar prinsip itu dilaksanakan di Malaysia tanpa mengira keterikatan individu atau mana-mana terhadap sesuatu parti serta kefahaman politik tertentu. Justeru, tegasnya Abim mendesak pihak yang berkenaan agar menghormati segala lunas perundangan yang telah ditetapkan serta tidak sewenang-wenangnya menghalalkan sebarang penganiayaan serta diskriminasi atas nama menjaga ketenteraman serta kesejahteraan awam. Begitupun, beliau menyambut baik pengumuman pemansuhan ISA serta beberapa akta yang berkaitan yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Tambahnya, pengumuman itu menandakan keterbukaan sikap pihak pemerintah terhadap desakan serta pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak terhadap akta tersebut sebelum ini. “Abim akan terus memantau serta memberikan kenyataan berhubung dengan pemansuhan akta-akta tersebut di samping proses penggubalan akta-akta yang menggantikannya, agar ia menepati janji pihak pemerintah untuk menjunjung tinggi teras demokrasi serta nilai kebebasan hak asasi manusia di negara ini,” ujarnya. |
Isnin, 19 September 2011
Malang jika mansuh ISA untuk raih undi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan