"Oleh itu, kita menyeru agar diwujudkan Majlis Perundingan Kebangsaan bagi mengkaji serta bersama-sama menggarap dua rang undang-undang mencegah keganasan dan aktiviti subversif yang bakal dibentangkan di Parlimen kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kita tidak mahu undang-undang yang bakal digubal ini masih menerapkan unsur perundangan, antaranya yang mirip dengan peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Kedua-dua peruntukan tersebut memberi kuasa kepada Menteri untuk menahan sesiapa sahaja dan membolehkan Menteri itu menyalahguna kuasa demi kepentingannya semata-mata.
"Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa sebarang erti sekiranya kedua-dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan tahanan tanpa bicara," tegas Azmin.
Penggubalan dua undang-undang baru itu adalah untuk menggantikan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 yang akan dimansuhkan, sepertimana yang diumumkan oleh perdana menteri dalam perutusan Hari Malaysia malam tadi.
Selain memansuhkan kedua-dua akta tersebut, kerajaan juga akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa, melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.
Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun.
Manakala kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul menamatkan penguatkuasaan tiga proklamasi darurat yang telah diisytiharkan dulu.
Mengulas lanjut, Azmin berkata, langkah tersebut membuka lembaran baru kepada persekitaran politik Malaysia sekiranya apa yang diumumkan dikotakan dan "tidak sebagai satu retorika serta sekadar bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik."
Sejajar dengan pengumuman Datuk Seri Najib semalam yang berhasrat memansuhkan ISA dan menamatkan perintah darurat, pihaknya menuntut agar:
1) Segera membebaskan semua tahanan yang ditahan tanpa bicara atau hadapkan mereka ke mahkamah untuk diadili.
2) Menutup pusat tahanan yang menempatkan tahanan yang ditahan tanpa bicara seumpama Pusat Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam.
3) Segera melaksanakan proses siasatan terhadap segala aduan siksaan terhadap para tahanan.
Sambil menegaskan bahawa rakyat tidak menerima perubahan yang bersifat tempelan, Azmin juga menegaskan, selagi pemerintahan Umno-BN tidak menerima perhimpunan BERSIH 2.0 sebagai hak dan kebebasan rakyat, rakyat akan beranggapan bahawa tuntutan mereka belum dipenuhi.
"Demokrasi yang berwibawa dan sistem piliharaya yang adil dan bebas adalah sebahagian dari hak asasi dan kebebasan rakyat," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan