Khamis, 8 September 2011

Khalid: Pengerusi Mais belakangi MB, reaksi cetus banyak soalan


KUALA LUMPUR — Khalid Samad berkata reaksi Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa mengenai satu pertemuan dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menimbulkan banyak persoalan termasuk sama ada agensi itu telah bertindak membelakangi Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

“(Sekarang) Pengerusi Mais sudah memberi penjelasan, mengakui bahawa memang ada satu pertemuan. Jadi, sekarang ia menimbulkan banyak soalan . . . sama ada ia satu pertemuan rasmi atau tidak rasmi, apakah ia membelakangkan Menteri Besar sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini kepada The Malaysian Insider.

Khalid (gambar) juga berkata, jika ia satu pertemuan rasmi, maka sama ada perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri yang bertanggumgjawab ke atas hal ehwal agama Islam.

“Jika ia satu pertemuan rasmi, sama ada surat jemputan rasmi ada dikeluarkan, ada agenda mesyuarat (pertemuan), ada minit mesyuarat? Adakah Menteri Besar sendiri ada dimaklumkan dan beliau dijemput sekali?

“Jika rasmi, sama ada hasil pertemuan dimaklumkan kepada Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri (Datuk Dr Hasan Ali)?” kata Khalid yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Shah Alam.

Justeru menurut Khalid, jika ia bukan satu mesyuarat bukan rasmi, mengapa ia diadakan sedangkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) belum lagi menyerahkan laporan rasmi yang lengkap mengenai tindakan pihaknya ke atas gereja kepada Menteri Besar.

“Malah Menteri Besar juga telah meminta kesemua Exco Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan tidak mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini (tindakan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama),” kata Khalid dan menambah, “jika Pengerusi Mais meneruskan juga pertemuan itu, apakah ia satu tindakan membelakangkan Menteri Besar sendiri.”

“Saya berharap Pengerusi Mais akan memberi penjelasan kepada persoalan-persoalan ini,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini.

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider semalam, Adzib ada mengakui pihaknya pernah mengadakan pertemuan membabitkan penyertaan NGO Islam bulan lalu, tetapi menafikan ia berniat politik, termasuk mahu menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar Selangor.

“Saya selaku ketua Mais dan Jais telah memberikan penjelasan tentang apa yang berlaku kepada NGO Islam, bukan setakat mereka baca daripada akhbar ataupun The Malaysian Insider sahaja . . . tetapi ini bukan pertemuan politik, cuma memberi penjelasan apa yang sebenarnya berlaku,” kata Adzib.

Malah kata beliau, pertemuan itu juga tidak membincangkan memorandum khusus bagi menyerang kepimpinan Khalid.

“Sebaliknya kami memberi penjelasan sahaja. Akhirnya mereka berkata mereka telah mendapat fakta yang betul dan tepat . . . tugas Mais dan Jais memberikan maklumat yang betul,” katanya.

“Ia bukan pertemuan politik tetapi hanya berkaitan dengan isu Islam,” kata bekas setiausaha kerajaan negeri ini. Pakatan Rakyat melabelkan beliau condong dan memihak kepada Umno.

Adzib yang juga Ahli Dewan Diraja Selangor ini berkata, tindakan susulan yang diambil oleh NGO yang terbabit termasuk mempersembahkan memorandum kepada Sultan Selangor adalah pendirian pihak berkenaan, bukan keputusan Mais atau Jais.

“Selepas pertemuan mereka ada menyediakan memorandum dan mereka telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan . . . itu keputusan mereka,” katanya lagi.

Pertemuan itu diusahakan ekoran kes serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama 3 Ogos lalu ekoran kononnya ada usaha memurtadkan umat Islam.

Tiada ulasan: