Selasa, 27 September 2011

Kes samun: Tindakan tiga pegawai ‘kesalahan serius’, kata SPRM

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengkategorikan perbuatan dilakukan tiga pegawainya, yang disyaki menyamun pengurup wang rakyat asing kira-kira RM900,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 15 September lalu sebagai “kesalahan serius.”

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, SPRM berkata, siasatan dalaman bagi kesalahan tatatertib ke atas ketiga-tiga pegawai agensi itu telah selesai dijalankan.

“Mesyuarat Lembaga Tatatertib SPRM yang bersidang hari ini telah membuat keputusan ke atas penjenisan kesalahan iaitu kesalahan serius sebagaimana Peruntukan 37 Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tataertib) 1993,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun kenyataan itu menambah, siasatan dan tindakan pihaknya tidak melibatkan atau menjejaskan siasatan pihak polis.

Kelmarin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Zakaria Jaffar berkata, pihaknya telah mengambil tindakan tegas menukar tiga pegawainya terbabit ke bahagian pentadbiran jabatan itu.

Tiga pegawai SPRM yang dilaporkan bertugas di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebelum ini ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang rakyat asing kira-kira RM900,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau berkata ketiga-tiga pegawai terbabit terdiri daripada pegawai berpangkat Pemangku Penolong Pesuruhjaya (Gred P48), Penolong Kanan Penguasa (Gred P32) dan Penolong Penguasa (Gred P29).

Tiada ulasan: