Khamis, 15 September 2011

Kes Aminulrasyid: Banyak soalan masih belum terjawab- Surendran


Oleh: Ahmad Fadli


SHAH ALAM: Meskipun mahkamah telah menjatuhi hukuman penjara terhadap anggota polis yang menembak mati Aminulrasyid, 15, namun masih terdapat banyak persoalan berhubung kematian Allahyarham.

Antaranya, tuduhan mengatakan Aminulrasyid penjenayah, cubaan menutup kes berkenaan dan dakwaan polis menemui parang di dalam but kereta yang dinaiki allahyarham, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

“Kita hendak tahu kenapa sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil terhadap bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang menuduh Aminulrasyid sebagai seorang penjenayah.

“Bukan sahaja tiada tindakan malah beliau (Khalid) juga diberikan kenaikan pangkat,” kata Surendran selaku peguam mewakili keluarga Aminulrasyid.

Khalid yang kini Timbalan Ketua Polis Negara sebelum ini enggan meminta maaf atau menarik balik kenyataannya yang menuduh Aminulrasyid sebagai seorang penjenayah, sebaliknya meminta pihak keluarga berbuat demikian kerana mendakwa remaja itu memandu secara berbahaya.

Surendran berkata demikian selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Korporal Jenain Subi yang didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di antara jam 1.10 dan 2 pagi pada tarikh 26 April 2010 di Shah Alam.

Jenain dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan Jenayah oleh Hakim Latifah Mohd Tahar.

Mengulas lanjut, Surendran berkata, beliau tertanya-tanya kenapa tiada tindakan diambil terhadap anggota polis yang membuat kenyataan palsu bahawa Aminulrasyid cuba merempuh polis pada malam kejadian.

“Ia satu penipuan kerana mereka tidak pula memberikan kenyataan yang sama di mahkamah,” kata Surendran lagi.

Menurutnya, keluarga AminulRasyid juga mahu tindakan diambil terhadap polis yang menyerang rakan AminulRasyid, Azamuddin Omar yang terpaksa lari menyelamatkan diri sebaik sahaja AminulRasyid ditembak mati.

“Beliau dipukul polis dan terpaksa lari untuk menyelamatkan diri. Keluarga AminulRasyid mahu siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini,” kata Surendran.

Tiada ulasan: