Sabtu, 10 September 2011

KDN Harus Siasat Kenapa JPN Gagal Kemaskini Pangkalan Data-Mafrel

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


SHAH ALAM : Alasan lapuk yang digunakan oleh Jabatan Pendaftran Negara (JPN) bahawa agensi itu gagal mengemaskini pangkalan data sehingga mengakibatkan bukan warganegara disenarai sebagai pemilih di negara ini adalah alasan yang longgar dan meragukan.

Menurut Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh, kegagalan mengemaskini data dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2008 adalah sesuatu yang serius dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus membuat tindakan susulan mengenainya.

"Bunyinya agak meragukan kerana kalau 2008, sekarang ini sudah 2011, sudah 3 tahun berlalu, biasanya data ini sudah dikemaskinikan.

"Pada pendapat saya sepatutnya macam data JPN ini mungkin dalam tempoh satu suku, tiap-tiap suku harus dikemaskinikan, kalau tidak pun setahun sekali. Jadi kalau dalam kes ini, maknanya dakwaan ini telah dibuat (tetapi) 3 tahun ini ia tidak dikemaskini dan itu alasan yang diberi.. saya rasa itu agak meragukan dan kita sepatutnya betul-betul selidik adakah itu sebabnya atau ada sebab-sebab yang lain?,"soalnya ketika dihubungi Tv Selangor, sambil menambah, KDN harus mengambil langkah susulan untuk mengetahui kedudukan sebenar dalam hal ini.

 JPN sebelum ini mengakui bahawa kegagalannya mengemaskini pangkalan data menyebabkan satu lagi kes orang bukan warganegara disenaraikan sebagai pengundi.

Jurucakap jabatan itu, Jainisah Mohd Noor berkata, pengundi yang memegang kad pengenalan sementara (kad pengenalan hijau) itu sebenarnya merupakan seorang warganegara.

Pegawai berkenaan berkata, semakan yang dijalankan JPN menunjukkan bahawa pengundi berkenaan, Yusnati Haris, 27, telah diberikan status kewarganegaraan pada 2008.

Tambahnya, Yusnati masih disenaraikan sebagai pemegang kad pengenalan hijau kerana pangkalan data yang boleh diakses oleh masyarakat umum itu tidak dikemaskini.

Mengulas hal itu, Syed Ibrahim berpandangan, JPN tidak seharusnya memandang ringan akan hal itu memandangkan ia melibatkan soal keselamatan negara dan imej institusi itu sendiri yang akan terus diragui kesahihannya.

Beliau pada masa sama tidak menolak persepsi rakyat yang akan memandang JPN sebagai sebuah agensi yang lemah dan tidak mampu menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin.

Ujarnya lagi, JPN hendaklah terbuka dalam memberi penjelasan mengenai kelemahan mereka ini, sama ada terdapat elemen-elemen yang tidak baik dan motif sebaliknya menyebabkan status pemilik kad-kad ini boleh bertukar dengan mudah.

"Saya rasa elok fokus kepada isu tersebut dan berikan jawapan, hujah-hujah mengapa ia berlaku dan juga cari jalan penyelesaian mengapa ia berlaku dan juga cari jalan penyelesaian untuk mengelakkan daripada berlaku pada masa hadapan, saya rasa itu fokusnyalah,"kata Syed Ibrahim.

 Terdahulu, isu pertukaran status MYPR kepada MyKad mengejutkan negara dalam kes Mismah.

Malaysiakini mengeluarkan berita “PR Didaftar Sebagai Pengundi” pada jam 1.06 petang, 2 Ogos 2011.

Pada masa tersebut individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).

Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia.

Tiada ulasan: