Pemuda Pakatan Rakyat menyambut baik kenyataan dan kesepakatan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat melalui Setiausaha-setiausaha Agung parti-parti komponen KEADILAN, PAS dan DAP dalam isu hudud yang kembali dihangatkan mutakhir ini.
Kesepakatan agar semua pimpinan ketiga-tiga parti diarah tidak mengeluarkan kenyataan sehinggalah Kepimpinan Pakatan Rakyat bersidang pada 28 September dengan jelas sekali merupakan satu tindakan proaktif yang bijak agar para pemimpin kembali fokus kepada agenda memperjuangkan hak rakyat, dan Pemuda Pakatan berpandangan ia wajar dihormati tanpa kompromi.
Ini sekaligus harus menjadi satu ingatan kepada Pakatan Rakyat agar kembali memfokuskan kemaslahatan rakyat sebagai agendanya. PRU-12 2008 menyaksikan rakyat memberikan harapan kepada Pakatan Rakyat. Dan ini sewajarnya tidak boleh disia-siakan sewenangnya dalam situasi genting menghadapi PRU-13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sebaik sahaja Perdana Menteri mendapat ilham.
Dalam masa yang sama Pemuda Pakatan mengutuk tindakan UMNO-BN melalui media khususnya Utusan Malaysia yang bersungguh-sungguh mempolemikkan isu seumpama hudud ini di saat Pakatan Rakyat dilihat semakin ampuh menggempur Putrajaya. Adalah sesuatu yang mengaibkan dunia kewartawanan, di saat sebuah akhbar seperti Utusan Malaysia memainkan peranan aktif sebagai batu api untuk melapor secara salah apa jua isu bersabit Pakatan Rakyat.
Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadith :
"Orang mukmin tidak boleh disengat dua kali dari satu lubang" - Sahih Bukhari Muslim
Hadith ini dengan jelas menunjukkan keperluan kita selaku barisan hadapan rakyat sentiasa peka dengan corak permainan kotor musuh yang sememangnya seronok melaga-laga Pakatan Rakyat agar dilihat lemah di mata khalayak. Inilah yang menjadi kerja harian UMNO-BN melalui media kelolaan mereka, mendatangkan ragu di kalangan rakyat melalui fitnah dan mehnah berpanjangan.
Di sinilah kita selaku kepimpinan Pakatan Rakyat harus lebih berwaspada dengan taktik kotor musuh ini dengan lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan.
Pengalaman mendewasakan. Dan ini harus menyemat satu tekad di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat agar mengekalkan fokus untuk menjulang agenda rakyat dengan menjatuhkan UMNO-BN di dalam PRU-13 akan datang.
Pemuda Pakatan percaya kebijaksanaan pimpinan Pakatan untuk menyelesaikan polemik ini di dalam satu suasana muhibah. Yang nyata ia sangat berbeza dengan UMNO-BN yang tidak membuka ruang perbezaan pendapat hatta di kalangan kelompok parti gabungan mereka sendiri.
Kapal mereka sedang bersedia untuk karam, maka Pakatan Rakyat harus mempersiapkan diri menjadi kemudi baru rakyat Malaysia. Untuk merealisasikan hasrat rakyat ini, pastinya, ia menuntut kebijaksanaan menyelesai masalah secara hikmah.
*Kenyataan media bersama oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Nasruddin Hassan selaku Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.
Selasa, 27 September 2011
Isu Hudud: AMK dan Pemuda PAS hormat sebarang keputusan Pakatan Rakyat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan