KUALA LUMPUR: "Tak layan lagi bagus", demikian reaksi spontan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kepada keengganan kerajaan meminta maaf terhadap mereka yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
"Tidak mahu layan maknanya tak mahu memohon maaf. Tak layan lagi bagus, biar rakyat dan seluruh dunia menyaksikan keangkuhan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).
"Buat salah, buat zalim, selepas itu berlagak sombong dan takbur tak mahu meminta maaf.
"Sekarang rakyat nampak dengan lebih jelas lagi sikap angkuh, sombong dan takbur kerajaaan BN," kata beliau yang dua kali ditahan di bawah ISA.
Mohamad mempersoalkan, jika ISA bukan akta yang zalim dan digunakan sesuka hati oleh kerajaan BN untuk melakukan kezaliman, rakyat tidak menentangnya dan ia tidak perlu dihapuskan.
Tetapi, katanya lagi, bila terbukti selama ini rakyat bersungguh-sunguh menentangnya secara berterusan dan selepas itu kerajaan pula tertekan sehingga terpaksa menghapuskan akta itu, ia dengan sendirinya membuktikan ISA memang zalim dan berkali-kali digunakan untuk melakukan kezaliman.
"Bila sudah melakukan kezaliman, seseorang akan memohon maaf jika ia insaf.
"Tetapi, apabila enggan melayan seruan memohon maaf, terbukti kerajaan BN adalah kerajaan yang tidak pernah merasa insaf melakukan kezaliman.
"Bukan sahaja tidak insaf dan tidak meminta maaf, malah dengan angkuh, sombong dan takbur mengumumkan kepada seluruh dunia tidak mahu layan seruan supaya meminta maaf," katanya.
Beliau yakin rakyat akhirnya akan menilai sendiri jenis apakah kerajaan yang enggan memohon maaf setelah melakukan kezaliman.
"Dengan perangai seperti itu, tidak hairanlah jika populariti (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) jatuh merudum sedangkan sebelum ini apa yang dilihat sebagai popularitinya diharap dapat mengimbangi kebencian sebahagian besar rakyat kepada Umno BN," katanya.
Sebelum itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tuntutan Mohamad supaya kerajaan meminta maaf terhadap bekas tahanan ISA berikutan pemansuhan akta itu tidak perlu dilayan.
Mohamad yakin, dengan sikap angkuh yang ditunjukkan oleh kerajaan dan pelbagai pendedahan negatif terhadap kerajaan termasuk mengenai daftar pemilih serba meragukan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Najib memerlukan masa yang sangat lama untuk memulihkan popularitinya walaupun beliau dilaporkan menggunakan khidmat orang-orang yang pernah menaikkan imej bekas Perdana Menteri British, Tony Blair.
Beliau juga yakin, percubaan untuk menonjolkan imej Najib kononnya sebagai moderat yang reformis bagi mengimbangi imej Umno yang bengis dan semakin kelihatan suka berkelahi tidak akan berjaya.
Rakyat khususnya masyarakat pertengahan yang cuba diumpan oleh Najib, katanya, tidak buta dan mereka nampak dengan jelas sikap Najib dan Umno dan yang tidak ubah seperti "sebelah tangan seolah-olah mahu menghulur salam tetapi sebelah tangan lagi terus memukul kepala kita dengan kayu".
"Bila ada perbezaan pandangan, mereka bukan mahu berhujjah tetapi mengancam mahu menyalahgunakan kuasa, memfitnah dan menunjukkan perangai suka berkelahi, walaupun kita sedia berhujjah.
"Itu bukan sifat moderat yang reformis, itu sifat samseng," katanya.
Mohamad melihat sifat itu sudah begitu sebati dengan kerajaan Umno BN. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan