Isnin, 19 September 2011

ISA: Putrajaya tidak akan minta maaf kepada tahanan, kata Hishammuddin

THE MALAYSIAN INSIDER

KLUANG — Kerajaan tidak akan meminta maaf kepada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ataupun keluarga mereka ekoran keputusan kerajaan mahu memansuhkan akta pencegahan yang kontroversial itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata desakan pelbagai pihak termasuk yang diketengahkan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mahukan kerajaan meminta maaf terhadap mereka yang pernah ditahan di bawah ISA tidak perlu dilayan.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kini dibelenggu pelbagai isu berikutan kenyataan kontroversinya tentang komunis.

“Dia (Mohamad Sabu) sudah tidak tahu nak kata apa lagi. Dia sudah banyak isu, Polis pun marah kat dia. Saya tidak mahu layan lagi Mat Sabu,” katanya di sini hari ini.

Selain Mohamad, beberapa pihak lain termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga meminta kerajaan meminta maaf dan membayar pampasan kepada tahanan dan keluarga mereka

Lebih 10,000 dilaporkan pernah ditahan di bawah ISA yang dikuatkuasakan sejak 1960.

Dipetik Bernama Online, menurut Hishammuddin, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Khamis lalu berhubung keputusan kerajaan memansuhkan ISA baru-baru ini bukan suatu retorik tetapi adalah sebahagian daripada pelan transformasi politik.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Jabatan Peguam Negara sedang menggubal dua undang-undang baru yang akan menggantikan ISA yang digubal ketika negara sedang menghadapi ancaman pengganas komunis.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa keselamatan negara berada di dalam keadaan terjamin walaupun kerajaan memutuskan untuk memansuhkan ISA.

Tiada ulasan: