Selasa, 27 September 2011

‘Hudud ujian kepada Pakatan Rakyat’

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chow berkata, jika isu hudud ini tidak boleh diselesaikan mengikut keperluan dan kemahuan rakyat, sudah tentu isu-isu besar lain akan gagal ditangani.



PETALING JAYA: Isu hudud yang mencetuskan kontroversi antara PAS dan DAP adalah untuk menguji kebijaksanaan Pakatan Rakyat menangani isu-isu besar yang akan berlaku dalam negara, kata Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Pengerusi DHPP, Hu Pang Chow berkata, jika isu hudud ini tidak boleh diselesaikan mengikut keperluan dan kemahuan rakyat, sudah tentu isu-isu besar lain akan gagal ditangani.

“Perlu diakui bahawa hudud bukan isu kepada Pakatan Rakyat tetapi menguji bagaimana isu ini diselesaikan.

“Kalau isu hudud ini tidak boleh diselsaikan tentu isu besar lain tidak akan berjaya diatasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Orang kuat PAS di kalangan bukan lslam itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu hudud yang kini sedang mengoncang Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat saling perang mulut hingga Pakatan Rakyat terpaksa mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan isu itu.

Perang mulut PAS-DAP

Bagaimanapun, Hu menegaskan, pelaksanaan hudud di negara yang berbilang kaum ini sudah tentu memerlukan perbincangan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

“Masa yang paling sesuai untuk membincangkan isu tersebut ialah setelah Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

“Kerana orang Islam tidak boleh membantah hudud secara terbuka,” katanya sambil menambah undang-undang Islam itu tidak masalah di kalangan orang bukan Islam di Terengganu dan Kelantan.

Hu juga menegaskan, agama telah menjadi satu isu yang hangat di Malaysia dalam kempen politik di Malaysia berbanding di negara-negara lain.

Katanya, ia tidak berlaku di negara lain kecuali Malaysia.

Perdana Menteri baru-baru ini memberitahu, Malaysia tidak akan melaksanakan undang-undang Islam.

Tiada ulasan: