Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Penangguhan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna telefon prabayar oleh syarikat telekomunikasi dibimbangi akan mendorong kerajaan menggunakan ‘helah’ lain untuk mendapatkan kembali hasil cukai yang terlepas.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lee Khai Loon berkata kantung negara yang kini semakin kering menyebabkan kerajaan akan menggunakan apa juga cara termasuk mencukai golongan yang hidupnya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
“Sekarang ini kita tahu kerajaan tiada wang dan (pada masa sama) cadangan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna talian prabayar ditangguhkan. Kita tidak tahu manakah sumber lain yang akan dicari kerajaan.
“Kita bimbang kerajaan akan guna cara lain pula untuk dapatkan juga hasil itu. Persoalannya, mengapa wujud cadangan untuk cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna prabayar?
“Sedangkan kita tahu 78 peratus ke 83 peratus pelanggan syarikat telekomunikasi adalah pengguna talian prabayar.Tidakkah kutipan cukai dari syarikat telekomunikasi ini sudahmencukupi? kata Lee kepada kepada Keadilandaily.com
Beliau memberikan reaksi demikian berhubung keputusan penangguhan cukai tersebut oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, petang ini.
Keputusan dibuat selepas mesyuarat dengan wakil dari Celcom Axiata Berhad (Celcom), DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGiTel), Maxis Berhad, dan UMOBILE Sdn Bhd (U Mobile).
Cukai perkhidmatan ke atas pengguna prabayar bukan baru, namun syarikat telekomunikasi telah menyerap kos itu sejak perkhidmatan mereka diperkenalkan pada 1998.
Namun Lee menambah, tidak adil kepada pengguna untuk dikenakan cukai tambahan, sedangkan keuntungan syarikat telekomunikasi berbilion ringgit setiap tahun.
“Tindakan ini boleh dianggap percubaan untuk memperkenal cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terutamanya dari sektor komunikasi. Namun cukai ini berlaku kepada perkhidmatan Astro, iaitu lima peratus.
“Bajet 2011 yang dibentang tahun lalu juga dilihat sebagai percubaan untuk mewartakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Ia sudah pun dibacakan sebanyak dua kali. Jika bacaan kali ketiga dibuat, bermakna GST akan mula dilaksanakan.
“Maka, perkembangan-perkembangan terbaru ini sebenarnya adalah pengajaran kepada rakyat Malaysia – iaitu bagaimana Barisan Nasional mentadbir dan mebguruskan ekonomi negara. Kita kena lebih berhati-hati.
“Tabiat lepas tangan dan menyerahkan beban kepada rakyat terutamanya golongan pertengahan dan bawahan sangat dikesali. Walhal, syarikat-syarikat telekomunikasi dan penyiaran ini pun sebenarnya dilantik oleh pentadbiran Barisan Nasional sendiri,” kata Lee.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan