Jumaat, 23 September 2011

Ahli kimia DNA Australia nafi cuba keliru makamah

MALAYSIA KINI


Seorang ahli kimia dari Australia hari ini menafikan beliau berniat untuk mengelirukan mahkamah ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Brian McDonald berkata beliau melakukan kesilapan dan telah tersalah baca bukti yang dikemukakan ahli kimia Dr Seah Lay Hong kerana menyangka doktor itu membuat ujian asid fosfet (AP tests) pada palitan yang diambil daripada bahagian atas dan bawah rektum pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, sedangkan Dr Seah hanya melakukan ujian itu terhadap seluar dan seluar dalam Mohd Saiful.

"Saya tersilap baca bukti itu. Saya menyangka Dr Seah melakukan ujian AP terhadap palitan yang diambil daripada bahagian atas dan bawah rektum Mohd Saiful," katanya apabila menjawab soalan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar pada pemeriksaan balas sama ada beliau melakukan kesilapan tentang ujian AP yang dibuat Dr Seah.

Saksi pembelaan keempat itu juga berkata sekiraya Dr Seah melakukan ujian AP terhadap palitan berkenaan, ia akan menghasilkan beberapa bukti perbandingan dalam bidang perubatan.

"Saya tidak berniat hendak mengelirukan mahkamah. Ini bukan isu ketidakjujuran. Perkara sebenarnya ialah saya telah tersilap baca bukti yang dikemukakan," katanya.

Dr McDonald memberi keterangan itu pada perbicaraan Anwar, 64, yang dituduh meliwat bekas pembantu beliau Mohd Saiful, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Menjawab soalan mengenai degradasi sampel, Dr McDonald berkata isu degradasi amat penting dalam kes berkenaan kerana hanya bukti itu yang menentukan kredibiliti sampel spermatozoa.

Merujuk kepada kes semasa (kes Anwar) apabila ahli kimia berkenaan boleh mengambil DNA 56 jam selepas kejadian liwat daripada dubur Mohd Saiful, Dr McDonald berkata beliau berpendapat ia merupakan kes melibatkan tempoh paling lama yang pernah direkodkan dalam sejarah dunia sejak 40 tahun lepas.

Beliau berkata 56 jam merupakan tempoh paling lama yang pernah direkodkan dalam bidang DNA apabila sperma masih boleh diambil daripada dubur seseorang sebelum dibuat ujian yang menghasilkan hasil positif.

Dalam kes ini, sampel sperma diambil di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008 dan Dr Seah menerimanya kira-kira 56 jam kemudian.

Dalam keterangannya, Dr Seah mengesahkan spermatoza daripada sampel sperma yang diambil daripada dubur Mohd Saiful berada dalam keadaan baik.

Mengenai tulisan yang tersiar dalam jurnal perubatan pada 1997 bertajuk 'Sexual Assault and Semen Persistence' bahawa sperma boleh kekal di dalam rektum hingga selama 113 jam, Dr McDonald berkata kes itu amat jarang berlaku dan hanya 99 peratus boleh terjadi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan disambung pada 3 Oktober.- Bernama

Tiada ulasan: