Khamis, 8 September 2011

Abang saya guru agama, bukan komunis- adik Mat Indera

Oleh: Masdar Wahid



KUALA LUMPUR: Baharom Indera, adik Mat Indera yang dikatakan mengetuai serangan di rumah pasong Bukit Kepong pada 1950, menegaskan abangnya itu bukan komunis seperti yang ditohmah pihak-pihak tertentu.

Kenyataan itu sekaligus menafikan dakwaan pimpinan Umno termasuk kenyataan terbaru Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman yang menganggap Mat Indera bukan pejuang kemerdekaan, sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Menurut Baharom, Mat Indera seorang yang bencikan penjajah dan kuat pegangan agama, justeru adalah mustahil beliau menganuti fahaman atau ideologi komunis.

“Abang saya seorang yang sangat tebal perjuangannya menentang penjajah dan memerdekakan negara. Malah beliau merupakan seorang ustaz dan pastinya bukan komunis,” katanya pada Forum Mat Indera: Pengkhianat atau pejuang? di Dewan Perniagaan Cina Selangor Kuala Lumpur malam tadi.


Forum anjuran Free Public Forum itu menampilkan ahli panel yang terdiri daripada Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu, Pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Isu mengenai perjuangan Mat Indera itu timbul apabila Mat Sabu dalam ceramahnya pada 21 Ogos lalu menyatakan Mat Indera sebagai hero sebenar dalam tragedi di Bukit Kepong, Muar.

Kenyataan itu kemudian diputarbelitkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia dan pimpinan Umno yang mendakwa Mat Sabu menyokong perjuangan komunis yang selama ini dilabel sebagai pengganas.

Baharom berkata, keluarganya sangat terluka dengan tindakan sesetengah pihak yang memburukkan abangnya, seorang beragama Islam dan telah lama meninggal dunia.


“Keluarga kami sudah lama terluka akibat tindakan sesetengah pihak menuduh abang saya komunis untuk kepentingan politik. Namun, kami bersyukur dan sangat berterima kasih kepada semua khasnya hadirin, ahli panel dan penganjur pada malam ini yang membincangkan secara jujur mengenai abang saya,” ujar beliau.

Baharom hanya tampil dalam beberapa minit memulakan ucapan dengan mengajak hadirin membacakan Al-Fatihah untuk arwah abangnya itu. Kira-kira 300 hadirin memenuhi dewan tersebut malam tadi.

Tiada ulasan: