Khamis, 17 Mac 2011

Saman Taib Mahmud : Mahkamah Tolak Permohonan Malaysiakini

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Malaysiakini bagi mengenepikan saman fitnah ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke atas portal berita itu.

Hakim, Datuk John Louis O' Hara ketika membuat keputusannya berkata, saman Taib tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana ia adalah kes nyata.

"Berikutan itu, permohonan mengketepikan saman ditolak,” kata O' Hara.

Dalam penghakimannya,beliau juga menolak isu yang dibangkitkan oleh Malaysiakini, terutama hujah perbuatan saman itu menyalahgunakan proses mahkamah dan plaintif (Abdul Taib) tidak mempunyai alasan untuk mengambil tindakan terhadap defendan.

Kata hakim itu lagi, keputusannya berdasarkan Akta Fitnah dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau sehubungan itu juga mengarahkan Malaysiakini membayar kos RM10,000 kepada Taib.

Ketua menteri Sarawak itu pada 2007 menyaman Malaysiakini dengan dakwaan memfitnahnya apabila portal berita bebas itu menyiarkan beberapa laporan dengan memetik sumber daripada akhbar-akhbar Jepun.

Beliau mendakwa 12 artikel yang diterbitkan dari 6 April hingga 3 Mei 2007 itu mengandungi perkataan yang memfitnah beliau.

Artikel berkenaan mendedahkan pihak berkuasa Jepun menahan ahli kumpulan kartel perkapalan yang mengangkut balak dari Sarawak.

Ahli kartel itu didakwa membayar Regent Star, sebuah syarikat kilang kertas yang berpangkalan di Hong Kong yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Taib dan keluarganya sebanyak RM32 juta sebagai habuan.

Isu berkenaan telah dilaporkan secara meluas di beberapa pertubuhan media di Jepun dan juga tempat lain. Berdasarkan sumber itu, Malaysiakini membuat laporan susulan seminggu selepas itu dengan artikel 'RM32 mil kickbacks - tip of the iceberg'.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Taib menamakan Mkini Dotcom dan ketua pengarang Malaysiakini Gan Diong Keng, yang juga dikenali sebagai Steven Gan, sebagai defendan.-Malaysiakini

Tiada ulasan: