SHAH ALAM : Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid mengesahkan 5,000 naskah Kitab Injil berbahasa Melayu dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia
tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah didalam Kitab Suci Kristian itu.
Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.
Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.
"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran Kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor.
Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.
Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut di tarik balik, mengikut pengumuman Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang semalam.
Kenyataan Nazri dan Tamyes bersabit pengedaran Kitab Injil itu dijangka menambah kemelut susulan kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh Kementerian Dalam
Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersabit isu itu.
Tamyes sendiri melahirkan rasa kesal kerana tidak ada penyelarasan dalam menangani isu Kitab-Kitab Injil berbahasa Melayu itu yang diimport dari Indonesia.
"Sepatutnya kita ni kalau nak buat keputusan biarlah ada persepakatan, kenapa pula seorang mengatakan boleh seorang mengatakan tidak," kata beliau.
Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu keputusan Peguam Negara sama ada penahanan 35,000 Kitab Injil di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang boleh ditarik balik.
Menurut Hishamuddin, keputusan itu berkait dengan kes penggunaan kalimah Allah yang masih belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan yang berlarutan sejak 2010.
Namun pagi semalam, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menegaskan isu itu akan dibincangkan di mesyuarat mingguan Kabinet Jumaat ini. Beliau menegaskan Jemaah Menteri harus berbincang isu itu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ironinya, sebelah petang hari sama Idris Jala mengumumkan kesemua 35,000 naskah yang ditahan di Pelabuhan Kelang (sejak 2009) dan Pelabuhan Kuching (sejak
Januari 2011) akan dibenarkan masuk ke negara ini.
Bagaimanapun KDN meletakkan dua syarat iaitu setiap naskah Kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan cop "Hanya Untuk Penganut Kristian" sebelum
dibenarkan pengedaran.
Syarat itu ditolak oleh pihak gereja di Sarawak yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.
Paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor menegaskan penganut kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab
suci mereka.
“Saya rasa jika kita letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini, kita seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah seseorang yang memiliki kitab ini melakukan satu jenayah. Tiada penganut Kristian akan menerima perkara ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan