Khamis, 10 Mac 2011

Pemuda Umno selar bekas naib pengerusi Suhakam

BERNAMA

Pemuda Umno Sabah menyifatkan kenyataan bekas Naib Pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun bahawa "kehidupan di Sabah sebelum Malaysia adalah baik" sebagai tidak adil dan jahil mengenai sejarah Malaysia.

police abuse suhakam pc 050808 simon sipaunKetuanya Azman Ruslan berkata kenyataan itu juga boleh dianggap sebagai mempersoalkan keputusan ikhlas Sabah untuk menyertai pembentukan Malaysia.

"Sebagai seorang bekas pegawai tinggi kerajaan di negeri ini, Sipaun (kiri) sepatutnya lebih arif dan memahami latar belakang dan sejarah pembentukan Malaysia.

"Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah bahawa pendapat rakyat (ketika itu) di Borneo Utara dan Sarawak telah diambil kira dan disahkan menerusi Suruhanjaya Siasatan Cobbold sebelum cadangan Persekutuan Malaysia dimuktamadkan.

"Malahan presiden Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (Unko), Donald A Stephens (kemudiannya Tun Mohd Fuad Stephens), dipilih pengerusi Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC)," katanya kepada Bernama, di Keningau hari ini.

sabah independence 16 september 1963Antara objektif MSCC ialah mengumpulkan dan mendapatkan pandangan dan pendapat berhubung penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Brunei, Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu.

Memetik laporan Suruhanjaya Cobbold, Azman berkata Unko telah menyatakan bahawa keselamatan paling terjamin untuk masa depan bekas negara jajahan British di Asia Tenggara ketika itu "bergantung kepada kesediaan mereka untuk sama-sama membentuk Malaysia."

Azman berkata Unko, parti politik pertama di Sabah juga menyatakan bahawa kecuali Malaysia dibentuk, mungkin terdapat 'tuntutan' ke atas wilayah-wilayah di Borneo daripada pihak lain.

Dalam kenyataan yang dibuat pada satu seminar anjuran Barisan Bersatu Borneo pada Sabtu dan diterbitkan dalam akhbar harian tempatan, Sipaun berkata kehidupan di Sabah dianggap lebih baik dalam banyak aspek sebelum Malaysia dibentuk berbanding dengan sekarang.

september 16 sarawak and sabah independenceSipaun, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah juga dipetik sebagai berkata apa yang boleh dikatakan mengenai kesatuan politik antara wilayah-wilayah di Borneo dan Malaysia adalah "palsu kerana kedua-dua rantau mempunyai amat sedikit, jika pun ada, persamaan."

Azman berkata kenyataan itu "jelas tidak menghormati pengasas-pengasas Malaysia", terutama allahyarham Tun Mohd Fuad, yang merupakan "Huguan Siou" atau pemimpin agung pertama kaum Kadazandusun.

"Dunia terus bergerak sejak Malaysia ditubuhkan kira-kira 48 tahun lepas. Kenapa pula sekarang perlu memberitahu rakyat Sabah yang menyertai Persekutuan Malaysia adalah satu 'kesilapan'," katanya.

Tiada ulasan: