Pemuda Umno Sabah menyifatkan kenyataan bekas Naib Pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun bahawa "kehidupan di Sabah sebelum Malaysia adalah baik" sebagai tidak adil dan jahil mengenai sejarah Malaysia.
"Sebagai seorang bekas pegawai tinggi kerajaan di negeri ini, Sipaun (kiri) sepatutnya lebih arif dan memahami latar belakang dan sejarah pembentukan Malaysia.
"Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah bahawa pendapat rakyat (ketika itu) di Borneo Utara dan Sarawak telah diambil kira dan disahkan menerusi Suruhanjaya Siasatan Cobbold sebelum cadangan Persekutuan Malaysia dimuktamadkan.
"Malahan presiden Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (Unko), Donald A Stephens (kemudiannya Tun Mohd Fuad Stephens), dipilih pengerusi Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC)," katanya kepada Bernama, di Keningau hari ini.
Memetik laporan Suruhanjaya Cobbold, Azman berkata Unko telah menyatakan bahawa keselamatan paling terjamin untuk masa depan bekas negara jajahan British di Asia Tenggara ketika itu "bergantung kepada kesediaan mereka untuk sama-sama membentuk Malaysia."
Azman berkata Unko, parti politik pertama di Sabah juga menyatakan bahawa kecuali Malaysia dibentuk, mungkin terdapat 'tuntutan' ke atas wilayah-wilayah di Borneo daripada pihak lain.
Dalam kenyataan yang dibuat pada satu seminar anjuran Barisan Bersatu Borneo pada Sabtu dan diterbitkan dalam akhbar harian tempatan, Sipaun berkata kehidupan di Sabah dianggap lebih baik dalam banyak aspek sebelum Malaysia dibentuk berbanding dengan sekarang.
Azman berkata kenyataan itu "jelas tidak menghormati pengasas-pengasas Malaysia", terutama allahyarham Tun Mohd Fuad, yang merupakan "Huguan Siou" atau pemimpin agung pertama kaum Kadazandusun.
"Dunia terus bergerak sejak Malaysia ditubuhkan kira-kira 48 tahun lepas. Kenapa pula sekarang perlu memberitahu rakyat Sabah yang menyertai Persekutuan Malaysia adalah satu 'kesilapan'," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan