Ahad, 27 Mac 2011

Orang Asli menang kes babitkan ‘curi’ di tanah adat

Khairil Abdul Rahim

ROMPIN, 26 Mac: Kemenangan kes tiga Orang Asli dari Kampung Buluh Nipis, Muadzam Shah, yang dibebaskan Mahkamah Majistret Rompin daripada tuduhan mencuri kelmarin dianggap kemenangan entiti tersebut dalam mempertahankan tanah adat dan kawasan rayau mereka.

Peguam yang mewakili ketiganya, Fadzli Ramly berkata, terdapat kejanggalan kerana mereka ditangkap dalam kawasan yang mereka anggap tanah adat sebagai tempat untuk mencari makan, tetapi telah ditanam oleh Risda dengan kelapa sawit

Gambar: Fadzli (berkot di tengah) bersama Orang Asli meraikan mahkamah di luar mahkamah

Mahkamah Majistret Rompin 24 Mac telah melepaskan tanpa membebaskan ketiga-tiga tertuduh yang terbabit dalam kes mencuri buah sawit di ladang sawit Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Fasa 5, Kampung Orang Asli Buluh Nipis pada 2 November tahun lalu.

Keputusan itu dibuat majistret, Emma Shahriana Ali selepas mendapati pihak pengadu, Basri Lohin, 38, tidak hadir untuk memberi keterangan pada prosiding perbicaraan itu

Ketiga-tiga tertuduh, Udin Tan, 38, dari Kampung Permatang Siput Mukim Temai, Pekan, dan rakannya, Sudin Mahidin, 58, dari Batu 5 Jalan Sabak Rompin serta Juling Dollah, 57, dari Kampung Buluh Nipis didakwa atas kesalahan mencuri buah sawit di ladang itu.

Menurut Fadzli, Risda telah menanam sawit di atas tanah yang merupakan kawasan rayau tempat masyarakat tersebut mencari makan dan dijanjikan dengan pampasan.

“Malangnya, ramai daripada penduduk dari perkampungan Orang Asli tersebut tidak menerimanya, manakala yang mendapat wang pula menganggapnya jumlahnya tidak munasabah.

“Oleh kerana tanah tempat mereka cari makan sudah ditanam sawit, mereka terpaksa memungut buah-buah sawit itu lalu menjualnya untuk buat belanja tetapi dalam masa yang sama perundingan dengan Risda terus dilakukan. Malangnya selepas itu ada pihak yang mengadu kepada polis mereka dianggap mencuri sehingga tiga orang daripada mereka ditangkap,” katanya.

Menurut fakta kes di mahkamah, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mencuri kelapa sawit dengan berat lebih kurang dua tan metrik kepunyaan Risda Plantation Sdn Bhd pada jam 1.30 petang 2 November tahun lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Heng Yen Loo manakala Fadzli dan Pengerusi Majlis Peguam Pahang, Hon Khai Ping telah memberikan khidmat guaman percuma.

Sementara itu, Fadzli berkata kes perjuangan melibatkan Orang Asli yang menuntut hak di tanah adat itu telah mendapat perhatian yang luas kerana ramai wartawan termasuk dari luar negara dan NGO-NGO melibatkan Orang Asli hadir membuat liputan.

“Perkara ini terletak di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan iaitu mereka (Orang Asli) mempunyai hak ke atas tanah milik mereka.

“Selain itu, pihak pembela juga berpandangan perkara ini (hak pemilikan tanah) belum dimuktamadkan dan diputuskan antara kedua-dua pihak iaitu pemaju (Risda) dan penduduk kerana mereka (Orang Asli) tidak memperoleh pendapatan hasil sawit yang memadai hingga terpaksa menjual atau memungut hasil itu,” katanya.

Fadzli juga berkata, pihak pembela dijangka mengemukakan hujah mengenai hak tertuduh sebagai penduduk tanah adat di kawasan itu selepas ini.

Tiada ulasan: