Rabu, 2 Mac 2011

Kempen Mesra Rakyat dicemari provokasi

Hazayani Zakaria

JASIN: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengulangi gesaan mahu semua parti yang bertanding pada PRK Dun Merlimau berkempen secara aman tanpa sebarang provokasi.

Beliau mengulas mengenai kempen pada PRK Merlimau yang mula dicemari provokasi dan perbuatan khianat oleh pihak lawan.

"Hari ini hari kelima kempen, kita lihat unsur keganasan dan provokasi masih berterusan.

"Kenapa di Merlimau ini setiap kali ceramah PAS ada gangguan daripada pihak lawan. Ada sahaja sorakan yang sengaja dilakukan untuk memprovok penyokong PAS, seolah-olah sengaja dirancang," katanya.

Salahuddin turut mempersoal kehadiran pihak polis yang ramai ke kawasan ini namun tidak mampu menangani perbuatan demikian.

"Duit banyak habis dengan kos logistik mereka tapi isu jarak ceramah yang terlalu dekat antara PAS dan BN pun tidka boleh diselesaikan.

"Apa fungsi mereka yang banyak menghabiskan wang rakyat tapi tak boleh kawal keselamatan?" soalnya.

Menurutnya juga, PAS tidak keberatan untuk mengadakan pertemuan denagn Ketua Polis Melaka sekiranya perkara ini masih berterusan.

"Kita sedang memberi perhatian untuk bertemu dengan pihak polis. Kita lihat sehingga malam ini, jika gangguan dan perbuatan khianat masih berterusan, kita tak keberatan untuk bertemu pihak polis bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Difahamkan, sehingga malam tadi sebanyak 10 buah motosikal dan 2 kereta penyokong Pakatan dirosakkan selain dua cermin kereta dipecahkan.

Tiada ulasan: