Rabu, 2 Mac 2011

DUN Kerdau: TPM mahu SPR siasat Pakatan guna logo selain PAS

BERNAMA

TEMERLOH – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat penggunaan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan lambang kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan sedemikian adalah menyalahi peraturan yang ditetapkan SPR kerana hanya parti yang bertanding sahaja dibenarkan menggunakan lambang parti mereka.

“(Penggunaan) poster (itu) tak betul (sesuatu yang salah), maknanya dia (PAS) tidak ada pendiriannya, yang bertanding di sini adalah PAS, ikut (peraturan) SPR, dia (calon) boleh pakai satu simbol sahaja iaitu PAS, yang tidak bertanding tidak dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan warga pendidik di Sekolah menengah Kebangsaan Kerdau di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan calon BN pada pilihan raya kecil itu, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan Syed Ibrahim dicabar calon PAS Hassanuddin Salim. Pengundian ditetapkan Ahad ini.

Mengulas pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata pemimpin-pemimpin pembangkang kini semakin tidak yakin terhdap calon mereka yang bertanding di dua pilihan raya kecil ketika ini iaitu di Kerdau dan Merlimau, Melaka.

Beliau berkata sekalipun pemimpin-pemimpin utama pembangkang berkata yang mereka hanya ingin menguji kekuatan BN pada pilihan raya kecil itu dan sebagai persiapan mereka (pembangkang) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, jentera BN diminta tidak mengambil mudah terhadap kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan.

“Walaupun sudah begitu baik, kita tak (jangan) kisah apa pembangkang buat (tapi) jangan pandang mudah,” katanya.

Tiada ulasan: