Sabtu, 5 Mac 2011

Bekas orang kuat Samy mohon injunksi halang MIED tambah ahli

KUALA LUMPUR — Bekas ketua Pemuda MIC A. Vigneswaran memfailkan permohonan injunksi untuk menghalang Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED), yang dipengerusikan oleh bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, daripada menambah bilangan ahlinya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan ex-parte itu pagi Isnin ini - pada hari lembaga pemegang amanah MIED akan mengadakan mesyuarat dengan salah satu agenda menambah 10 lagi ahli.

Selasa lalu, Samy Vellu menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau sedang berusaha untuk 'melarikan' MIED daripada milikan MIC, tetapi mengesahkan agenda mahu menambah ahlinya daripada 30 orang kepada 42 orang.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Vigneswaran mengesahkan tindakan perundangan itu.

“Ya, saya ada failkan permohonan untuk dapatkan injunksi pagi tadi. Permohonan akan didengar hari Isnin ini,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas tindakan perundangan hari ini, yang dilihat ketiga ke atas MIED termasuk notis rekuisi dibuat kelmarin.

The Malaysian Insider difahamkan mahkamah akan mendengar permohonan itu pada pukul 8.30 pagi manakala lembaga pemegang amanah MIED pula akan memulakan mesyuarat mereka 10 pagi.

Permohonan injunksi itu meminta agar MIED tidak menambah ahli dan harus kekal dengan bilangan semasa.

Sumber memberitahu sekiranya berjaya, perintah injunksi akan diserahkan kepada lembaga pemegang amanah supaya tidak membincangkan agenda menambah ahli.

“Injunksi hanya untuk menghalang usaha (Samy Vellu dan lembaha) tambah ahli, mesyuarat lembaga boleh diadakan seperti biasa, mereka mahu status quo kekal,” katanya lagi.

Kelmarin, beliau bersama dua ahli lain mengemukakan notis rekuisisi menggesa Samy Vellu supaya melepaskan jawatan pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Turut diminta berundur ialah seorang pemegang amanahnya Tan Sri Dr T. Marimuthu.

Notis meminta diadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) itu ditandatangani oleh bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam, Vigneswaran dan bekas Adun Kedah Datuk S. Ganesan, yang juga ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC.

Samy Vellu, yang akan genap 75 tahun Rabu depan, memanggil mesyuarat lembaga pemegang amanahnya Isnin ini, yang antara lain akan menambah keahlian baru seramai 10 orang.

MIED kini mempunyai 30 ahli dan ada yang mendakwa Samy Vellu mahu menambah 10 ahli baru bagi memantapkan kedudukan beliau dalam MIED.

Ada yang mendakwa beliau melakukan usaha ke arah mengasingkan MIED daripada MIC.

Atas faktor usia dan peruntukan di bawah Akta Syarikat, Samy Vellu juga memerlukan sokongan 75 peratus ahlinya untuk kekal sebagai pengerusinya, kata dakwaan itu.

Justeru dakwaan mengatakan beliau berbuat demikian untuk mendapatkan lebih ramai sokongan ahli-ahlinya.

Bekas menteri Kabinet pusat itu dan kini duta khas ke rantau Asia Selatan mengakui agenda itu sambil memberi jaminan bahawa MIED, yang mempunyai aset sekitar RM1 bilion, akan kekal sebagai entiti milik MIC sambil menafikan dakwaan bahawa ada usaha di pihaknya untuk “melarikan” sayap pendidikan itu.

Malah kata beliau, dakwaan itu juga bertujuan merosakkan hubungan beliau dengan penggantinya Datuk G. Palanivel.

Samy Vellu berkata MIED, yang ditubuhkan pada 1984 ketika era kepimpinannya, akan kekal sebagai sebahagian MIC dan aktiviti harian akan diuruskan oleh MIED sebagaimana diamalkan sebelum ini.

Sehubungan itu kata Samy Vellu, beliau sentiasa berhubungan dengan Palanivel dan “kami sentiasa mendapatkan nasihat satu sama lain berkenaan urusan MIED.”

Sejak penubuhannnya, Samy Vellu bertindak sebagai pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 30 hari kepada Samy Vellu, selaku pengerusi MIED dan tujuh pemegang amanahnya membekalkan beberapa dokumen dalam saman RM100 juta terhadap mereka oleh MIED.

Hakim Mahkamah Dagang Datuk Abdul Aziz Rahim memerintahkan mereka membekalkan dokumen berkenaan termasuk yang berkaitan dengan pembinaan Institut Sains Perubatan dan Teknologi Asian (AIMST), yang didakwa telah menyebabkan kerugian besar kepada cabang pendidikan MIC itu.

Vigneswaran memohon supaya para defendan membekalkan salinan surat pelantikan bekas ketua pegawai eksekutifnya P. Chitirakala dan skop tugasnya.

MIED memohon sebanyak 12 dokumen selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mah Weng Kwai pada 14 Jun membenarkan permohonan untuk menamakan MIED sebagai plaintif dalam cadangan saman terhadap para pemegang amanah MIED.

Selain bekas presiden MIC Samy Vellu, Palanivel, Mahalingam, Marimuthu, Tan Sri Dr S.K. Ampikaipakam, Tan Sri Dr K.S. Nijhar, K. Kumaran dan Tan Sri G. Vadiveloo dinamakan sebagai defendan.

Dalam saman yang difailkan pada 5 Julai lalu, MIED mendakwa kesemua defendan telah melakukan kecuaian, kesalahan aturan kewangan, kemungkiran tanggungjawab sebagai pemegang amanah, juruaudit, dan fidusiari, yang telah membawa kerugian besar kapada MIED.

Ia juga memohon perintah injunksi bagi menghalang dan menyekat Samy Vellu daripada terus berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah, mahu Samy Vellu dilucutkan keahlian beliau dari MIED dan perintah supaya Samy Vellu mengembalikan kesemua wang dan atau apa keuntungan dan kepentingan dari dana MIED yang telah diterima olehnya (Samy Vellu) sama ada secara langsung atau melalui ahli keluarga beliau atau kawan rapat beliau.

MIED mahu perintah mahkamah bahawa Samy Vellu membayar balik kesemua kerugian yang telah dialami oleh MIED dalam tempoh masa di mana beliau telah mentadbir sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah.

Vigneswaran, yang merupakan seorang anggota MIED, memohon kebenaran mengikut ketetapan Seksyen 181A, Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan pihak-pihak yang mahu dinamakan bagi pihak syarikat sebagai plaintif dalam saman itu, perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk berbuat demikian.

Tiada ulasan: