Ahad, 29 November 2015

NAJIB SEDANG MENGHANCURKAN UMNO

shahbudindotcom


Pada 2 Disember ini, sembilan Ketua Cawangan daripada UMNO Bahagian Teluk Kemang yang mendesak pengunduran Najib Razak daripada memimpin parti dan kerajaan akan mengadap Lembaga Disiplin berhubung tindakan mereka itu.

Selepas itu, mereka kemungkinannya sama ada akan dipecat, digantung keahlian atau sekadar diberi amaran saja.

Tetapi berdasarkan kepada kes Ketua Wanita UMNO Gopeng, Hamidah Osman yang dipecat, juga disebabkan didakwa terlibat dalam aktiviti yang mahukan pengunduran Najib, besar kemungkinan semua sembilan Ketua UMNO cawangan itu juga akan menerima nasib yang sama.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, selepas sekumpulan Ketua  UMNO Cawangan dalam bahagian Teluk Kemang membuat desakan itu, beberapa Ketua Cawangan daripada bahagian-bahagian  lain turut juga membuat desakan yang sama.

Jika dihitung berdasarkan beberapa pengakuan serta perhimpunan yang turut dihadiri pihak media, ia sudah pun menjangkau ratusan Ketua Cawangan jumlahnya, malah dalam pertemuan terbaru di Kinrara baru-baru ini, kumpulan tersebut mengaku mereka mewakili kira-kira 200 Ketua Cawangan di seluruh negara.

Persoalannya, apakah hanya Ketua UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang saja yang dipanggil mengadap Lembaga Disiplin?

Bagaimana dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan lain dari seluruh negara yang juga membuat desakan yang sama?

Bilakah mereka mahu diberikan surat tunjuk sebab dan  kemudian memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin?

Jika jumlah Ketua Cawangan yang mendesak pengunduran Najib terus bertambah dari semasa ke semasa, apakah pihak ibu pejabat UMNO akan terus menggunakan pendekatan yang sama iaitu memanggil mereka memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin juga?

Selain itu, jika Ketua UMNO Cawangan yang mendesak pengunduran Najib dianggap suatu kesalahan dan dihadapkan ke Lembaga Disiplin, bagaimana pula dengan Tun Mahathir yang tidak berhenti-henti membuat desakan serupa sejak lebih setahun yang lalu?

Jika benar-benar adil dan Najib pula seorang yang berani, bukankah Tun Mahathir yang sepatutnya paling awal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti sebelum sembilan Ketua Cawangan terbabit?

Begitu juga, jika Hamidah dipecat kerana didakwa menganjurkan program Bicara Negarawan di Ipoh serta dilihat berada di Lapangan Terbang Subang ketika menyambut kepulangan Tun Mahathir daripada luar negara tidak lama dulu, bagaimana dengan ramai yang lain yang sentiasa bersama dengan bekas Perdana Menteri itu?

Sekali lagi, mengapa Tun Mahathir yang berucap dan disambut kepulangannya tidak diberikan sebarang surat tunjuk sebab?

Sejak bila menjemput, meraikan dan menghargai bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO sendiri merupakan suatu kesalahan?

Adakah suatu kesalahan juga mendesak pengunduran pemimpin semata-mata atas kepercayaan ianya tindakan yang terbaik untuk menyelamatkan masa depan parti?

Apakah jika parti sudah berada begitu buruk di mata rakyat yang diakibatkan oleh perlakuan tidak baik  permimpinnya, maka semua pihak perlu berdiam diri saja?

Tidakkah dianggap keterlaluan, dalam keadaan parti lebih mungkin kalah daripada menang dalam pilihanraya, pujian melambung masih perlu dilontarkan kepada pemimpin yang menjadi punca masalah itu?

Ahh...hakikatnya banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan di sebalik tindakan mengenakan hukuman mengadap Lembaga Disiplin terhadap sembilan Ketua UMNO Cawangan daripada Teluk Kemang serta pemecatan Hamidah Osman itu.

Berbeza ketika Tun Mahathir memimpin parti dan kerajaan dulu di mana beliau juga ada didesak untuk mengundurkan diri, namun semua desakan terhadap beliau tidak sesekali menjurus kepada kebimbangan bahawa parti akan kalah dalam pilihanraya jika terus dipimpin olehnya.

Malah, Tun Mahathir sentiasa membuktikan penguasaan dua pertiga majoriti di Parlimen tetap menjadi milik BN ketika itu

Kini, melalui satu demi demi tindakan yang diambil Najib untuk mengekalkan kuasanya, ia bukan saja terus mencemarkan imej UMNO di kalangan ahlinya sendiri, bahkan kian menghakis kebolehpercayaan rakyat yang akhirnya lebih memudahkan kehancurannya. 
 
 
 

PKR sasar wujudkan 'Pakatan Harapan Rakyat' sebelum PRU14 bersama PAS-DAP-Amanah

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: PKR optimis untuk menggubal kerjasama antara PAS dengan parti komponen Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.
 
Naib Presiden PKR, Dr. Shaharuddin Badaruddin menggesa perwakilan di peringkat negeri kembali mengadakan mesyuarat bersama PAS di negeri masing-masing.
 
"Saya diamanahkan oleh Biro Politik Pusat untuk memastikan perbincangan diantara PKR dan PAS diteruskan.
 
"Kita mohon kepada negeri-negeri supaya dapat diadakan kembali mesyuarat diantara PKR dan PAS," katanya ketika Ucapan Penggulungan di Kongres Nasional Tahunan ke-11, di sini hari ini.
 
Menurutnya, beliau berkeyakinan dengan kebijaksanaan kepimpinan PKR, kesepakatan diantara parti pembangkang ini akan berjaya dilaksanakan.
 
"Saya yakin dua tahun akan datang dengan kebijaksanaan kepimpinan kita, kita boleh mempertautkan semula antara Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat.
 
"Sebelum PRU akan datang kita akan wujudkan pakatan harapan rakyat ini,"ujarnya.
 
PAS sebelum ini enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan kerana perbalahannya dengan DAP dan Amanah.
 
PAS mengambil pendirian untuk hanya bekerjasama dengan PKR menerusi Pakatan Rakyat.
 
 

Guan Eng diminta beri jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan

Bernama
Guan Eng diminta beri jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan
UMNO Pulau Pinang meminta kerajaan negeri pimpinan DAP mengambil kira ulasan dan ketetapan yang dibuat oleh bahagian teknikal Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan jabatan persekutuan kerana ada projek yang mendapat ulasan negatif. - Gambar Fail
 
 
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng Sabtu digesa memberikan jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata sehingga kini Lim masih membisu dan tidak menyatakan berapa luas tanah sawah yang telah ditukar menjadi tanah pembangunan.

"Ini semua kita tidak dapat jawapan, jangan membisu. Jangan buat tindakan sesuka hati, perkara dan keputusan dibuat sewenang- wenangnya tanpa memberi penjelasan kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO di sini pada Sabtu.

Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang juga turut meminta kerajaan negeri pimpinan DAP mengambil kira ulasan dan ketetapan yang dibuat oleh bahagian teknikal Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan jabatan persekutuan kerana pihaknya dimaklumkan ada projek yang mendapat ulasan negatif tetapi ia tetap diluluskan.

"Kita harap kerajaan negeri ambil kira ulasan ini kedua-dua jabatan ini terhadap isu projek penambakan, isu tanah dan penukaran tanah," katanya.

Dalam perkembangan lain, UMNO Pulau Pinang turut melahirkan rasa simpati terhadap ahli dan pemimpin PAS di peringkat akar umbi yang telah ditamatkan perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) baru-baru ini.

Beliau berkata UMNO negeri bersedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan ahli PAS dengan mempelawa mereka berhubung dengan JKK Persekutuan yang diwakili Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

"Pemimpin PAS ini ada pengaruh yang kuat di kampung-kampung dan di taman-taman, yang mana kita boleh bekerjasama di peringkat bawah untuk atasi masalah kampung.

"Kita boleh bantu, kita harap PAS tidak bermuram dan pilu kerana dibuang. Kita wakil UMNO di bawah JKKP sedia membantu mereka," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengumumkan telah menamatkan perkhidmatan 300 ahli JKKK dari PAS kawasan Kepala Batas kerana mendakwa mereka tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan negeri itu.

Ahad lepas, PAS Pulau Pinang telah mengarahkan semua 1,083 ahli JKKK dari parti itu di negeri ini meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

1,000 akar umbi BN sokong Muhyiddin di Pagoh

Hafiz Yatim





Kira-kira 1,000 ahli akar umbi Umno hari ini berhimpun di Pagoh untuk menyatakan solidariti mereka terhadap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sekaligus mempersoalkan pemimpin parti mengenai kesalahan yang beliau lakukan.

Pemimpin cawangan dari Umno Pagoh Samad Ariffin mempersoal apa kesalahan yang dilakukan oleh Muhyiddin selaku pemimpin nombor dua dalam parti sehingga tidak dibenarkan merasmikan persidangan sayap parti pada perhimpunan agung Umno kali ini.

Samad berkata beliau turut mendengar bahawa ucapan penggulungan oleh kepimpinan parti juga akan dibatalkan dan ditangguhkan sehingga tahun depan.

"Kami berhimpun di sini dan tidak dibayar untuk menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin," katanya.

"Kami tahu risiko yang akan kami terima, di mana ibu pejabat parti akan rekod nama kami untuk dilaporkan kepada kepimpinan parti.

"Tapi kami berdiri teguh bersama Muhyiddin kerana kami tahu beliau berada di atas landasan yang betul," kata Samad yang mewakili 106 cawangan Umno.

Perhimpunan hari ini menyaksikan kepimpinan MCA, MCA dan MIC bahagian daripada Pagoh turut serta bersama pemimpn Umno.

Keseluruhannya kira-kira 1,000 pemimpin BN berhimpun pada sebuah dewan di Pagoh turut menyuarakan sokongan mereka bersma rakan dalam Umno.

Turut hadir tiga pemimpin cawangan di Teluk Kemang yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Sepanjang himpunan itu, Muhyiddin menerima memorandum sokongan daripada 106 cawangan dalam Pagoh termasuk veteran Umno dan veteran tentara dari bahagaian itu.

Charles Morais rujuk peguam tentang nasib pen drive

Geraldine Tong 





Charles Suresh Morais berkata beliau akan berunding dengan peguamnya sebelum menentukan tindakan selanjutnya berhubung dakwaan bahawa beliau menerima pen drive daripada abangnya, seorang timbalan pendakwaraya sebelum dibunuh dengan kejam.

"Saya bercadang untuk bertemu dan bercakap dengan peguam saya minggu depan. Soalan-soalan ini ditanya memerlukan khidmat peguam untuk perundingan," kata Charles kepada Malaysiakini melalui kiriman emel semalam, ketika ditanya mengenai langkah beliau seterusnya berhubung pen drive kontroversi itu," katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya jika pulang ke Malaysia ketika ini.
Charles berkata beliau akan mendapatkan pandangan peguammnya sama ada untuk mengambil tindakan terhadap adik bongsunya Richard Dilaan Morais dan "individu lain yang terlibat".

Kedua-dua saudara itu bersengketa mengenai kematian Kevin, dan saudara yang paling muda turut menyerang beliau berhubung pendedahan akuan bersumpah (SD) kontroversi yang dibuat Charles pada Khamis yang mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Kevin.

Dalam SD Charles itu, beliau mendakwa bahawa Kevin telah menceritakan kepadanya bahawa dia menguruskan kes yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Beliau juga mendakwa bahawa Kevin telah menyerahkan kepadanya pen drive melalui kurier yang mengandungi bukti yang didakwa mengaitkan individu yang berkuasa dan beliau (Charles) mengaturnya untuk mendedahkannya jika sesuatu yang berlaku kepadanya

Teknik bacaan Cordobana kini di Johor



Teknik bacaan Cordobana kini di Johor
Peserta belajar dalam suasana santai dan selesa dengan penggunaan teknik mengajar secara audio dan visual


JOHOR BAHRU – Orang ramai di sekitar Johor kini berpeluang mendalami teknik bacaan al-Quran menerusi Teknik Cordobana yang dibawakan khas oleh Akademi Cordoba Sdn Bhd di Rumah Ngaji ZMP Management & Training Centre, Bandar Uda Utama, di sini.

Pengusaha Rumah Ngaji ZMP Management & Training Centre, Roziah Kamal berkata, teknik mempelajari al-Quran itu mula dijalankan di negeri ini sejak April dan sudah memasuki siri keempat.

Katanya, dalam tempoh tiga hari sahaja peserta program mengaji teknik Cordobana yang dibawa khas dari Indonesia itu dijamin mampu membaca al-Quran dengan lebih mudah dan lancar.

“Sepanjang program ini, peserta ditanamkan dengan perasaan cinta dan adab terhadap al-Quran agar mempunyai minat mendalam untuk mengaji.

“Secara tidak langsung ia memudahkan proses pembelajaran peserta untuk mendalami al-Quran dan membacanya dengan lancar,” katanya.

Roziah berkata, setakat ini program teknik membaca al-Quran berkenaan telah disertai kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan profesional dan guru agama.

“Kelas ini bukan sahaja terbuka kepada individu yang tidak mempunyai asas bacaan al-Quran tetapi juga disertai golongan pendidik yang ingin memantapkan ilmu pembelajaran dan pengajaran masing-masing.

“Menerusi teknik ini peserta lebih yakin untuk mencuba bacaan masing-masing kerana tenaga pengajar sentiasa memberi motivasi dan galakan bagi memantapkan bacaan mereka,” katanya.

Selain itu katanya, modul pembelajaran yang disediakan sepanjang program itu juga lebih ringkas dan padat bagi memudahkan peserta mengikuti teknik membaca al-Quran dengan lebih mudah.

“Dalam setiap siri, lima tenaga pengajar termasuk dua pengajar utama dari Indonesia akan membimbing peserta menggunakan formula lebih ringkas disamping penggunaan teknik pembelajaran berlagu.

“Kaedah ini membolehkan peserta mengenal dan menghafal huruf al-Quran secara santai namun meninggalkan kesan efektif,” katanya.

Katanya, setakat ini kesemua peserta yang sudah mengikuti program mengaji teknik Cordobana mampu membaca al-Quran dengan lancar malah sebahagian peserta berjaya mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam tempoh singkat.

“Malah saya sendiri berjaya khatam al-Quran dalam tempoh kurang tiga bulan selepas mengikuti kelas ini pada April lalu,” katanya.

Dalam pada itu Roziah berkata, alumni peserta program berkenaan turut dialu-alukan untuk mengikuti kelas latihan susulan yang disediakandi Rumah Ngaji berkenaan secara percuma bagi memantapkan bacaan masing-masing.

“Program ini dijalankan setiap dua atau tiga bulan sekali dan peserta alumni digalakkan untuk terus datang ke program ini sebagai latih tubi memantapkan bacaan dan penguasaan ilmu mereka.

“Malah di Rumah Ngaji ini juga kita turut mengadakan kelas bacaan tajuid dan peserta alumni boleh menyertainya secara percuma,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta Mualaf, Husin Awang, 78 berkata, dia teruja mengikuti program berkenaan kerana mampu membaca al-Quran dengan lancar walaupun baru menjalani kelas selama dua hari.

“Hari ini (semalam) hari kedua saya mengikuti Teknik Cordobana dan Alhamdulillah sudah ada banyak perubahan dan boleh membaca dengan lancar.

“Sebelum ini saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas mengaji dan hanya belajar sendiri tetapi teknik yang diajar pada program ini amat mudah malah saya dapat belajar dalam suasana santai,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Bahasa Arab, Muhammad Shafiq Elias berkata, dia berminat menyertai program itu bagi menambah ilmu pembelajaran dan pengajarannya agar dapat dikongsi bersama murid-muridnya.

“Setiap murid mempunyai pendekatan yang pelbagai untuk menguasai ilmu jadi sebagai guru saya juga perlu meningkatkan penguasaan pelbagai teknik pembelajaran dan pengajaran.

“Saya berpendapat program ini dapat memainkan peranan sebagai akademik atau institusi melahirkan tenaga pengajar khususnya bidang pembacaan al-Quran,” katanya.

Katanya, program mengaji teknik Cordobana itu mempunyai pendekatan yang unik bagi membantu peserta menguasai pembacaan al-Quran dengan mudah dan lancar dalam tempoh singkat.

“Formula ‘bacaan sistem menambung’ yang diperkenalkan dalam teknik Cordobana ini banyak membantu peserta untuk membaca dalam tempoh singkat," katanya.


Selamatkah serbuk tongkat ali?


Selamatkah sembuk tongkat ali?
 

BERIKUTAN penemuan seorang saintis menemui kaedah pengekstrakan akar sejenis pokok iaitu herba bersifat keras, orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan daripada mengambil serbuk tersebut sebagai bahan rawatan atau pemuliharaan kesihatan.

Alasan utama ialah sejak zaman dahulu lagi orang Melayu mengambil herba bersifat keras dalam bentuk air rebusan, bukan dalam bentuk serbuk.

Alasan kedua, serbuk herba bersifat keras dibimbangkan akan tersangkut pada usus dan mencederakannya. Alasan ketiga ialah selulosa daripada serbuk herba bersifat keras akan merosakkan buah pinggang.

Berikut ialah pandangan penulis berdasarkan ilmu herbalisme yang agak berbeza dengan kepercayaan tersebut. Alasan pertama iaitu orang dulu-dulu biasa mengambil herba dalam bentuk rebusan agak kurang tepat. Ia kerana terdapat sediaan herba yang menggunakan herba bersifat keras dalam bentuk serbuk halus misalnya sebagai ramuan makjun.

Alasan saintis bahawa meminum air rebusan jauh lebih berkesan daripada mengambil serbuk herba boleh diterima kerana kuantiti fitokimia yang menyumbang aktiviti biologi yang diharapkan jauh lebih besar berbanding dengan pengambilan serbuk.

Pada pandangan penulis, keberkesanan sesuatu sediaan herba sama ada rebusan atau serbuk bergantung kepada keserasian seseorang.

Diremehkan

Kadar perlahan tersebut tidak sepatutnya digunakan oleh saintis untuk menafikan penggunaan tradisional herba dalam bentuk serbuk.

Ia kerana membantu pengembalian keseimbangan fisiologi misalnya mengambil serbuk tongkat ali untuk meningkatkan nitrik oksida pada zakar adalah sesuai dengan keperluan fisiologi yang dipercayai lebih mudah menerima perubahan/intervensi secara beransur-ansur.

Lihat apa pendapat penulis terhadap alasan kedua iaitu serbuk herba bersifat keras akan tersangkut lalu mencederakan usus.

Jika serbuk yang dihasilkan adalah keras, kasar dan tajam seperti selumbar (boleh dilihat dengan mata kasar) maka terdapat kemungkinan ia akan mencederakan usus.

Namun jika konsistensinya antara 40 – 100 mesh (Saiz piawai industri: ~149 – 400 mikron), walaupun bersifat keras, penulis berpendapat ia tidak mencederakan usus.

Walaupun partikel mikro bersifat keras boleh melekat di celah-celah mikrovilli namun produk makanan yang dicerna, air yang sentiasa terdapat usus, enzim pencernaan dari usus/bakteria dan pergerakan mekanikal usus dipercayai mencegah partikel serbuk herba dari melekat selama-lamanya di celah-celah mikrovilli.

Bagaimanapun, mereka yang mengalami diverticulitis di mana bahagian tertentu bahagian usus tertentu membengkak dan membentuk kantung dikatakan mudah menyimpan najis yang mengandungi pelbagai bahan termasuk partikel mikro.

Alasan ketiga yang diguna oleh saintis terhadap pengambilan serbuk herba bersifat keras ialah ia akan merosakkan buah pinggang. Pada pandangan penulis, kebimbangan tersebut mungkin berdasarkan teori persorption iaitu penyerapan partikel mikro termasuk selulosa oleh usus kecil dan masuk ke dalam aliran darah.

Secara umum berdasarkan kajian sains yang pernah dijalankan, partikel mikro termasuk selulos bersaiz paling kurang 1 mikron boleh menjalani persoption seperti dinyatakan profesor Gerhard Volkheimer, PhD. berjudul ‘The Phenomenon of Persorption: Persoption, Dissemination, and Elimination of Microparticles.

Dalam artikel tersebut Dr. Volkhermer menyatakan salah satu cara partikel mikro dinyah dari tubuh ialah melalui urin (yang menggunakan buah pinggang sebagai penapis).

Mungkin perkara ini yang menyebabkan sesetengah saintis bimbang partikel mikro bersaiz besar akan tersangkut dalam glomeruli (kapilari dalam buah pinggang berfungsi sebagai penapis bahan kumuh) dan lama-kelamaan ia akan merosakkan buah pinggang dan berakhir dengan kegagalannya.

Setakat ini tiada sebarang kajian dijalankan bagi menunjukkan jumlah selulosa atau fiber mikro lain dari serbuk herba bersifat keras misalnya tongkat ali yang masuk ke dalam aliran darah.

Pandangan penulis terhadap pengambilan jangka panjang serbuk herba bersifat keras termasuk akar Tongkat Ali dari segi pengaruhnya terhadap kerosakan buah pinggang ialah kesannya dipercayai sama sahaja seperti penduduk India yang mengambil serbuk rempah dalam bentuk makanan boleh dikatakan setiap hari sepanjang hayat – tiada kerosakan buah pinggang dikesan.  

Hari ini, kerosakan buah pinggang bukan disebabkan oleh pengambilan serbuk herba bersifat keras tetapi berpunca antara lain dari paras gula tinggi dan penganbilan ubatan moden tertentu.

Kajian berjudul ‘The toxicity of some quassinoids from Eurycoma longifolia’ mendapati eurycomanone cerakinan butanol (butanol fraction) paling bersifat toksik berbanding dengan pelbagai quassinoid cerakinan air dan diethyl ether.

Berdasarkan kajian ini yang mendapati quassinoid larut pelarut organan lebih toksik berbanding dengan quassinoid larut air menyebabkan kalangan tertentu perpendapat pengambilan serbuk Tongkat Ali yang terdiri dari pelbagai fitokimia larut air dan larut pelarut organan boleh mudaratkan kesihatan.

Holistik

Pada pandangan penulis saintis yang berpendapat demikian terlalu fokus kepada bahagian yang terpisah, dalam kes ini quassinoid larut dalam pelarut organan.

Bukankah jika diteliti secara bersungguh-sungguh akan didapati bahawa serbuk Tongkat Ali mengandungi pelbagai quassinoid bukan sahaja yang larut air malah juga yang larut pelarut organan? Selain quassinoid  terdapat pelbagai fitokimia lain yang bersifat antioksidan dan anti inlamatori (anti keradangan) di mana kedua-dua sifat ini adalah pencegah dan penawar kepada sifat ketoksikan.

Sila baca artikel berjudul ‘The Effcect of Eurycoma Longfolia Jack (tongkat ali) on Methylene Chloride induced Liver Damage in Rats’ yang menggunakan ekstrak tongkat ali diekstrak menggunakan air.

Penelitian dari perspektif herbalisme: Pertama, sifat pahit quassinoid dan pelbagai fitokimia bersifat pahit lain (jika ada) dalam Tongkat Ali menyumbang sifat choleretic iaitu meningkatkan pengeluaran cecair hempedu.

Sifat ini dipercayai membantu mempercepat penyahan toksin dari hati dan usus. Kedua, herba bersifat hepatoprotective yang juga dikenali sebagai anti-hepatoxicity seperti dimiliki Tongkat Ali biasanya juga bersifat mencegah sel-sel seluruh tubuh daripada ketoksikan.

Menyentuh mengenai ‘standardization’ sediaan herba tradisional, penulis katakan di sini bahawa memang tiada standardization (menetapkan kandungan fitokimia tertentu pada paras tertentu) dalam penyediaan herba secara tradisional.

Namun seperti diketahui oleh para pengamal perubatan tradisional  pelbagai budaya dunia, keberkesanan suatu sediaan herba tidak pernah bergantung kepada standardization.

Cadangan pihak tertentu agar menjauhi serbuk herba bersifat keras dilihat sebagai usaha mengekang perkembangan penggunaan herba yang disediakan secara tradisional – atas nama inovasi dan teknologi.

Jakim tak pernah beri produk haram logo halal

SINAR HARIAN


Logo Halal
Loho Halal Jakim


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menegaskan bahawa jabatan itu tidak pernah mengeluarkan logo halal kepada mana-mana produk makanan yang disahkan haram.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata siasatan telah dijalankan berikutan penyebaran beberapa keping gambar di laman sosial yang memaparkan makanan haram dengan logo halal palsu dijual di pasar raya di Sarawak, baru-baru ini.

"Hasil siasatan Jakim di pasar raya di Miri dan Kuching mendapati tiada produk makanan yang memaparkan logo halal palsu di pasaran seperti didakwa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa gambar yang disebarkan merupakan gambar yang sengaja diedit dengan meletakkan logo halal.

Baru-baru ini, beberapa keping gambar makanan dipercayai daging khinzir dalam tin dengan logo halal dijual di sebuah pasar raya tersebar di media sosial yang mengundang keresahan pengguna dari kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, Hakimah berkata Jakim menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung penjualan, pengedaran atau penyimpanan produk tersebut agar tampil membantu sekiranya ia benar-benar berlaku. -Bernama


Pertahan kedaulatan Sabah, janji Nurul Izzah


Nurul Izzah
Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KeadilanTahunan Ke-11 2015. - Foto Sinar Harian


SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berjanji untuk mempertahankan kedaulatan Sabah di sebalik tohmahan pengkhianat kerana tindakan bertemu Jacel H Kiram.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang menggunakan taktik politik kotor sebagai tidak bertanggungjawab.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua teman di Sabah yang begitu memahami di sebalik kontroversi ini.

"Teman-teman di Sabah yang turut mempertahankan saya menunjukkan nilai kasih sayang yang ada dalam PKR," katanya dalam ucapan pergulungan di Kongres Nasional Tahunan PKR ke 11, hari ini.

Beliau turut berjanji akan menunjukkan siapa sebenarnya pengkhianat di sebalik apa yang telah berlaku terhadap dirinya.

"Saya amat kecewa kerana sentimen lain turut diheret sama yang seterusnya mengundang kebencian terhadap diri saya," katanya.

Sebelum ini tersebar di laman sosial gambar Nurul Izzah bersama anak Sultan Jamalul Kiram yang mengundang kontroversi dan didakwa tidak sensitif terhadap rakyat Sabah.

Nurul Izzah bagaimanapun telah memohon maaf dan turut memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu itu.


Vape: Titah Sultan Johor akan dibincang

SINAR HARIAN


Vape
Gambar hiasan


NUSAJAYA - Kerajaan negeri akan membincangkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu larangan penjualan vape di negeri ini dikuat kuasa awal Januari depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata, ia akan dibincang pada mesyuarat majlis kerajaan negeri dalam masa terdekat.

"Pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Bahagian Farmasi akan turut mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum dikemukakan pada mesyuarat terbabit.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan haramkan vape di Johor, tutup operasi]

"Kita akan panggil agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan dan Bahagian Farmasi untuk meneliti prosedur dan peraturan yang sewajarnya dalam menguatkuasakan titah Sultan Johor," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Ibrahim yang mahu produk vape dilarang dijual dan semua premis vape ditutup berkuat kuasa 1 Januari 2016, seperti yang dilaporkan.  

Ayub berkata, pihaknya menjunjung kasih terhadap titah Sultan Ibrahim yang dilihat selari dengan pendirian kerajaan negeri yang melihat penggunaan vape adalah memudaratkan rakyat terutama golongan muda.

Beliau berkata, beliau sendiri secara konsisten menyuarakan pandangan bahawa vape boleh disalah guna oleh pengguna dan dilihat mampu menjurus terhadap penyalahgunaan dadah.

"Dalam dua atau tiga tahun mendatang, kalau vape tidak dihalang, maka kita akan lihat keruntuhan akhlak dan juga masalah sosial generasi muda," katanya.

Ayub berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas penutupan premis penjualan vape, namun Bahagian Farmasi boleh merampas barangan terbabit di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 sekiranya mengandungi bahan terlarang yang tidak didaftar.

Berdasarkan pemantauan sebelum ini, pihaknya mengesan enam premis perniagaan vape yang melanggar akta berkenaan di sekitar bandar raya Johor Baharu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latif Bandi berkata, pihaknya akan mengeluarkan pekeliling baharu bagi mengharamkan penjualan vape menerusi Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, menerusi pekeliling itu, PBT akan memulakan tindakan penguatkuasaan dan pengharaman penjualan ke atas vape bermula pada 1 Januari depan.

"Perbincangan berhubung perkara itu (pekeliling) bersama pelbagai pihak terlibat akan dilakukan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor sebelum keputusan yang dicapai itu dikuatkuasakan," katanya. - Bernama