Isnin, 20 September 2021

Warisan tak dilibatkan dalam MOU kerana bukan sebahagian PH


Parti Warisan tidak diajak dalam perbincangan awal berhubung Memoraundum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan kerana mungkin ia sebahagian dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Wiranya, Datuk Azis Jamman.

Ahli Parlimen (MP) Sepanggar secara sinis berkata Warisan tidak dilibatkan sejak awal perbincangan MOU tersebut dan hanya dijemput untuk diberikan taklimat sahaja, tetapi difahami keputusan tersebut dibuat memandangkan mereka tidak menyertai gabungan blok pembangkang tersebut.

“Sekali lagi ditegaskan, bahawa kami tidak pernah dilibatkan dalam daripada awal tentang perbincangan MoU ini dengan kerajaan dan dan jika ada pun, sekadar jemputan untuk ditaklimatkan.

“Ini mungkin berlaku disebabkan kami bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan,” katanya semasa perbahasan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Azis berkata mereka menghormati keputusan yang dibuat oleh rakan-rakan PH sebagai meraikan perbezaan pendapat namun menegaskan keutamaan rakyat tetap menjadi fokus Warisan terutamanya semasa krisis kesihatan masih melanda negara.

“Tetapi kita perlu menghormati dan meraikan perbezaan pendapat kerana mungkin rakan-rakan dalam group pembangkang melihat dari segi pandangan yang berbeza. Namun, kami dari pihak Warisan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kita menyokong transformasi kerajaan dan parlimen, seterusnya patuh kepada saranan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong agar fokus kepada pemulihan negara wajar diutamakan,” ujarnya lagi.

Blok pembangkang, PH dan kerajaan menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Parlimen pada 13 September lalu.

MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Bagaimanapun, MOU tersebut tidak mendapat sokongan blok pembangkang sebelah kem Tun Dr Mahathir Mohamad yang terdiri daripada Pejuang, Warisan dan Muda.

Untuk rekod, tawaran kerjasama tersebut sebelum ini pernah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletak jawatan tetapi ditolak mentah-mentah pembangkang.

Hanya dengan kerajaan baharu diterajui UMNO sahaja Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tunduk dan menerima tawaran MoU tersebut, begitu takut beliau kepada UMNO sehingga mengadaikan prinsip perjuangannya sebelum ini.

Tiada ulasan: