Isnin, 13 September 2021

Transformasi Parlimen: Pembangkang terbuka, sedia berunding bawa tuntutan rakyat - MP Kluang

Madiha Abdullah
Transformasi Parlimen: Pembangkang terbuka, sedia berunding bawa tuntutan rakyat - MP Kluang
Pembangkang akan memberi kerjasama kerana tuntutan yang tersebut bukanlah atas dasar kepentingan politik tetapi untuk manfaat rakyat. - Gambar fail/BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Pembangkang bersedia berunding jika terdapat sebarang isu pada tuntutan yang dikemukakan dalam usaha tranformasi serta penambahbaikan Parlimen bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada wabak COVID-19, krisis ekonomi dan kemelut politik.
 
Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, pembangkang akan memberi kerjasama sepenuhnya kerana tuntutan yang tersebut bukanlah atas dasar kepentingan politik tetapi untuk manfaat rakyat.
 
"Saya percaya apa sahaja isu yang berbangkit, pemimpin pembangkang Pusat akan cuba untuk menyelesaikan dengan cara terbaik kerana apa yang kita minta adalah demi rakyat.
 
"Kalau kerajaan sekarang benar-benar mahu membantu rakyat mereka seharusnya terima tuntutan itu. Jadi saya rasa tidak ada isu tetapi jika ada kekurangan atau perubahan, kita boleh berunding.
 
"Apa yang penting sekarang, kita mahu adanya gencatan politik di mana Parlimen akan jadi satu institusi di mana kita semua boleh duduk berbincang dengan lebih konstruktif demi kepentingan negara," katanya ketika muncul dalam program Fokus Minggu Depan, pada Ahad.
 
Media sebelum ini melaporkan Pakatan Harapan (PH) berpandangan pertimbangan wajar diberikan terhadap usaha reformasi institusi demi rakyat dan negara.
 
Antara tuntutan yang digariskan ialah reformasi dan penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara dengan memastikan program saringan ujian awam dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.
 
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Jumaat mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
 
Tambah Shu Qi, pembangkang bersedia menerima tujuh tawaran Ismail Sabri, tidak seperti tawaran yang dikemukakan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana ia dibuat dalam situasi berbeza.
 
"Tawaran Muhyiddin dahulu dibuat semasa beliau sudah hilang majoriti dan sokongan. Bukan sahaja pembangkang tetapi dalam kalangan rakyat juga marah apabila beliau berbuat demikian.
 
"Sekarang, apa yang mustahak ialah bukan sahaja melihat pendirian parti politik tetapi semua pihak perlu tunjukkan kesediaan untuk terima tawaran tersebut," ujarnya.
 
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Persidangan dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej-pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

Tiada ulasan: