LANGKAWI: Pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pembukaan semula industri pelancongan di Langkawi mulai esok dibahagikan kepada tiga zon yang tertumpu kepada “hotspot” atau lokasi tumpuan pelancong.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Gelembung Pelancongan Langkawi Saiful Anwar Azmi berkata, Zon Satu melibatkan sekitar kawasan Pekan Kuah hingga Ayer Hangat, Zon Dua membabitkan kawasan dari Ayer Hangat hingga Pantai Kok, manakala Zon Tiga dari Pantai Kok hingga Pantai Tengah.
“Dalam setiap zon ini, terdapat lokasi atau produk pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai. Kita bahagikan mengikut zon supaya mudah untuk pemantauan SOP dibuat.
“Pasukan pemantauan SOP, contohnya polis, bergerak membuat pemantauan di lokasi pelancongan mengikut zon ini dan mereka akan pastikan semua SOP Covid-19 dan gelembung pelancongan dipatuhi,” katanya.
Beliau diminta mengulas persediaan berkaitan pemantauan pematuhan SOP ke atas pelancong yang akan mengunjungi Langkawi susulan pembukaan semula pulau itu bawah projek rintis gelembung pelancongan.
Katanya, antara lokasi atau produk pelancongan yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi termasuk Terminal Jeti Kuah, Dataran Lang, pusat beli belah, premis bebas cukai, lapangan terbang, pusat pelancongan, pusat sukan dan rekreasi serta pantai.
Dalam pada itu, Saiful Anwar, yang juga pegawai daerah Langkawi berkata, enam jawatankuasa kecil diwujudkan bawah Pasukan Petugas Khas Gelembung Pelancongan Langkawi yang berperanan memastikan projek rintis itu berjalan lancar dan berjaya.
Katanya, jawatankuasa kecil tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.
“Pelbagai agensi terlibat sama dalam jawatankuasa ini, termasuk agensi kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan.
“…(Kita harap) Langkawi akan jadi pusat pelancongan terbaik bukan sahaja di peringkat negara ini tetapi di peringkat dunia,” katanya.
Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun atau persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada pasukan petugas khas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan