Isnin, 20 September 2021

Pemandu lawan arus berdepan hukuman mati

Oleh NORHAYATI YAHAYA 

K. DEVAASWIN didakwa di Mahkamah Majistret, Shah Alam, Selangor atas dua pertuduhan melakukan bunuh terhadap dua remaja di Lebuhraya Persekutuan pada 12 September lalu.

SHAH ALAM: Pemandu yang memandu kenderaan pacuan empat roda secara melawan arus pada 12 September lalu berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua kesalahan melakukan bunuh terhadap dua remaja.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas dua pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh, K. Devaaswin, 24.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai pemasaran bahagian pengangkutan didakwa melakukan bunuh terhadap Nur Afiqah Abdul Karim, 18, di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur di Shah Alam pada pukul 1.50 pagi, 12 September lalu.

Dia turut dituduh melakukan kesalahan sama terhadap Muhammad Hafiz Syamjr Dzul Asri, 19, di lokasi dan pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar memohon sebutan kes sebulan daripada sekarang bagi menunggu laporan kimia, bedah siasat, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan lain-lain dokumen bagi tujuan memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi.

Peguambela, Pushpa Ratnam dan R. Thanuja tidak mempunyai bantahan dan memohon sebutan pada 21 Oktober hadapan.

Selain itu, pihak pembelaan turut memohon mahkamah mengeluarkan arahan kepada pihak polis dan penjara supaya tertuduh dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan kecederaan pada bahagian belakang dan mata kanan.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober untuk sebutan kes selain tiada jaminan dibenarkan.

Mahkamah turut mengarahkan pihak pendakwaan berhubung dengan polis untuk membawa tertuduh mendapatkan rawatan di hospital.

Pada 12 September lalu, dua remaja maut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dilanggar oleh kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan.

Hasil ujian air kencing mendapati, pemandu kenderaan pikap itu positif dadah jenis ganja. – UTUSAN

Tiada ulasan: