Pemerhati politik berkata
sukar untuk golongan kleptokrat sabotaj kerajaan sedia ada sekiranya
kerjasama dengan PH diteruskan dengan lancar.
Memorandum persefahaman (MoU) bersejarah yang ditandatangani julung kalinya antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin akan meneutralkan “kluster mahkamah” dalam Umno, sekaligus menafikan sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata pemerhati politik.
Ahmad Marthada Mohamed dari UUM berkata, menerusi MoU itu, pembangkang akan memberikan komitmen dan secara tidak langsung sokongan yang kukuh kepada kerajaan hari ini meskipun tanpa sokongan kluster mahkamah.
“Dahulu, kluster mahkamah yang menggagalkan usaha kerajaan (membawa transformasi), pada masa yang sama pembangkang tidak menyokong kerajaan kerana tiada insentif untuk berbuat demikian,” kata dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa itu kepada MalaysiaNow.
“Dengan adanya MoU ini, usaha daripada kluster mahkamah untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan tidak akan berkesan.”
Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU pada Isnin lepas yang disifatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai “demokrasi bermusyawarah”.
Memorandum ditandatangani oleh Ismail dan pemimpin utama PH, iaitu Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng serta Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.
Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.
Mereka bertanggungjawab menjatuhkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu dengan menarik sokongan kepada ahli Parlimen Pagoh itu, sekali gus menyebabkannya kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Walaupun Muhyiddin membuat beberapa penawaran pembaharuan terhadap institusi negara yang kini diguna semula dalam MoU pada Isnin, PH mengambil keputusan untuk menolaknya kerana dikatakan sebagai satu tawaran rasuah secara terbuka.
Antara intipati utama MoU antara kerajaan dan PH termasuklah pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran kerajaan, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Menurut Marthada, meskipun idea-idea yang dibawa Muhyiddin itu bersifat “forward-looking”, ia menemui kegagalan disebabkan golongan kleptokrat yang mensabotaj pentabdiran perdana menteri kelapan itu.
“Ada situasi menang-menang dengan tawaran kerjasama ini. Dari segi keabsahan kerajaan juga penting. MoU ini menunjukkan kerajaan hari ini turut disokong oleh pembangkang secara tidak langsung.
“Saya fikir pembentangan Belanjawan 2022 akan lulus, undi percaya juga tidak akan berfikir pembentangan Belanjawan 2022 akan lulus, undi percaya juga tidak akan berlaku,” katanya.
Namun katanya, kejayaan Mou ini bergantung kepada kedua-dua pihak yang menandatangani persefahaman.
Sementara itu, pemerhati politik dari Sarawak, Jeniri Amir ketika mengulas MoU itu terhadap masa depan Sabah dan Sarawak berkata, usaha mengembalikan hak di bawah MA63 akan berjalan dengan lebih cepat dengan sokongan kedua-dua pihak.
“MoU akan memperkukuhkan usaha kerajaan terdahulu. Semasa pentadbiran PH, parti-parti yang tiada dalam PH tidak bersetuju dengan langkah PH ketika itu.
“Dengan adanya persefahaman ini, segala rintangan dapat diketepikan,” katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya, walaupun Pejuang dan Warisan tidak menandatangani MoU pada
Isnin, mereka perlu menyokong usaha mengembalikan hak Sarawak dan Sabah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan