Isnin, 13 September 2021

Lebih 100 guru di Terengganu tolak vaksinasi

BERNAMA

Menteri Besar Ahmad Samsuri berkata pendekatan memujuk digunakan bagi memastikan guru-guru tersebut bersetuju divaksinasi kerana tiada peraturan membolehkan tindakan dikenakan ke atas mereka.

Lebih 100 guru di Terengganu menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.

Beliau berkata jumlah itu hanyalah mewakili peratusan kecil keseluruhan jumlah guru yang berkhidmat di negeri ini.

“Saya tidak tahu apa alasan mereka tidak mahu terima vaksin.

“Cuma permintaan saya supaya mereka ini mempertimbangkan semula keputusan mereka demi kebaikan semua pihak, termasuk keluarga mereka dan anak-anak murid mereka,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman.

Ahmad berkata buat masa ini hanya pendekatan memujuk digunakan bagi memastikan guru-guru tersebut bersetuju menerima suntikan vaksin, memandangkan tiada sebarang peraturan atau undang-undang membolehkan sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka.

Ditanya sama ada guru yang enggan menerima vaksin itu perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara berkala apabila sesi persekolahan dibuka nanti, Ahmad berkata: “Itu mungkin satu cara. Kalau mereka sanggup hendak ‘hadap’ ujian (saringan Covid-19) dua minggu sekali, itu terpulanglah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Alias Razak ketika ditemui berkata penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) kini masih tinggi iaitu lebih 75% adalah faktor Terengganu belum boleh beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“ICU kita perlu 50% (untuk beralih ke fasa tiga), tetapi kita lebih dari 75% sekarang. Hal ini kerana pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke ICU adalah selama 21 hari dan ia adalah tempoh yang lama.

“Walaupun jumlah harian kemasukan pesakit ke ICU adalah kecil tetapi semakin hari semakin ramai sebab hendak tunggu 21 hari,” katanya dan menjangkakan jumlah penggunaan katil di ICU berkurangan dalam tempoh selewatnya tiga minggu lagi.

Dalam perkembangan sama, Dr Alias memaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman disahkan positif Covid-19 dan kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, Adun Kota Putera itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak lebih seminggu, selepas disahkan positif Covid-19 kerana mengalami demam dan menjangkakan Nurkhuzaini akan dibenarkan keluar daripada hospital dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: