Sabtu, 25 September 2021

COVID-19: Kes aktif semakin menurun

BH ONLINE

 Rakyat di negara ini diingatkan terus mematuhi SOP untuk mengelakkan berlakunya lonjakan kes COVID-19. - Foto hiasan NSTP/Asyraf HamzahRakyat di negara ini diingatkan terus mematuhi SOP untuk mengelakkan berlakunya lonjakan kes COVID-19. - Foto hiasan NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dalam negara semakin menurun sepanjang tempoh seminggu lepas, berikutan kes pesakit sembuh yang mengatasi kes harian baharu.

Sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (18 September-24 September 2021), angka kes sembuh paling tinggi dicatat adalah pada Ahad 19 September sebanyak 23,469 kes berbanding kes harian baharu pada hari yang sama iaitu 14,954 kes.

Semalam, sekali lagi kes sembuh mengatasi kes harian baharu iaitu sebanyak 16,751 kes berbanding kes harian baharu, 14,554 kes.

Setakat semalam, Malaysia merekod sebanyak 195,837 kes aktif COVID-19 berbanding 221,339 kes pada Jumaat 17 September 2021.

Angka kes harian baharu COVID-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (18 September - 24 September 2021) meskipun masih empat angka tetapi secara konsistennya di bawah 20,000 kes.

Paling rendah angka kes harian baharu COVID-19 untuk tempoh Rangkuman Mingguan ini adalah kelmarin (23 September) iaitu sebanyak 13,754 kes.

Sehingga pukul 12:00 tengah hari semalam, kes kumulatif COVID-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah sebanyak 2,171,232 kes.

Dengan kumulatif kes 2,171,232 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 negara/wilayah yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia adalah Ukraine (2,379,483 kes) dan Filipina (2,453,328 kes).

Sarawak berada di tempat teratas untuk rekod kes harian baharu, semalam dengan sebanyak 2,825 kes, diikuti Selangor 2,244 kes dan Johor 1,807 kes.

Malaysia menyasarkan untuk beralih ke fasa endemik COVID-19 pada penghujung Oktober 2021, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan supaya rakyat di negara ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan berlakunya lonjakan kes COVID-19.

Pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya kelmarin, Khairy berkata, langkah pembendungan menerusi kaedah pemutus litar (circuit breaker) berkemungkinan dilaksanakan sekiranya sesuatu lokasi merekodkan penularan jangkitan secara luar biasa.

Menurut beliau, pertimbangan berhubung perkara berkenaan belum dimuktamadkan, namun ia dijangka perlu dilaksanakan ketika Malaysia sedang beralih ke fasa praendemik.

Meskipun bakal menjejaskan tahap sosioekonomi dan kesihatan mental, beliau menjelaskan langkah pembendungan mirip Singapura itu akan dilaksanakan dalam tempoh singkat.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelmarin, pembukaan pusat dan kawasan pelancongan serta aktiviti rentas negeri akan dibenarkan, apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Setakat 22 September 2021, sebanyak 81 peratus atau 18,964,474 individu dewasa negara ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Sebanyak 1,049 kes COVID-19 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 559 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 250 kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 dalam negara berjumlah 24,931 kes.

Daripada 14,554 kes harian baharu yang dilaporkan semalam, sebanyak 163 kes (1.1 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 sementara sebanyak 14,391 kes (98.9 peratus) tergolong dalam kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit COVID-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksijen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt untuk sepanjang Rangkuman Mingguan ini, ia masih di bawah kadar 1.0 seperti laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

18 September (0.94), 19 September ( 0.92), 20 September ( 0.93), 21 September (0.95), 22 September (0.92), 23 September (0.90) dan 24 September (0.90).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 23 September adalah Pahang (1.01), Terengganu (0.99) dan Perlis (0.99).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Sehngga 24 September 2021, Malaysia mempunyai sebanyak 1,250 kluster masih aktif. Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 5,389 kluster di kesan di negara ini dan 4,139 daripadanya, ditamatkan.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama ini, berdasarkan laporan KKM, terdapat sebanyak 142 kluster baharu (188 kluster baharu pada Rangkuman Minggu lalu 11 September-17 September 2021). Kluster terbanyak, kluster tempat kerja, 75 kluster (52.8 peratus) dan kluster komuniti, 49 kluster (34.5 peratus).

Menurut perincian KKM, daripada 14,554 kes harian baharu, sebanyak enam negeri mencatat kes harian baharu empat angka, tujuh negeri mencatat kes harian baharu tiga angka, sementara dua negeri mencatat dua angka. Sebuah negeri mencatat sifar kes.

Senarai negeri adalah seperti berikut:-

Kes harian baharu empat angka - Sarawak 2,825 kes, Selangor 2,244 kes, Johor 1,807 kes, Sabah 1,273 kes, Pulau Pinang 1,231 kes dan Perak 1,144 kes.

Kes harian baharu tiga angka - Kelantan 910 kes, Kedah 908 kes, Terengganu 690 kes, Pahang 598 kes, Melaka 401 kes, WP Kuala Lumpur 271 kes dan Negeri Sembilan 157 kes.

Kes harian baharu dua angka - Perlis 65 kes dan WP Putrajaya 30 kes.

Kes harian baharu sifar angka - WP Labuan.BERNAMA

Tiada ulasan: