Essa Abu Yamin
Batu Pahat: Seorang warga emas melecur di kedua-dua kaki selepas dapur gas di rumahnya di Jalan Zamrud, Taman Soga di sini, meletup semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kejadian jam 6.25 petang itu berlaku ketika Musharafah Habib, 71, menukar hos dapur gas.
Katanya, selesai memasang hos berkenaan, mangsa kemudiannya cuba menghidupkan dapur gas dan secara tiba-tiba berlaku letupan.
"Dipercayai ada kebocoran pada sambungan hos daripada tong gas ke dapur dan kesan letupan berkenaan mengakibatkan kaki mangsa melecur.
"Letupan turut merosakkan cermin tingkap dan pekakasan dapur," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa kerana dia enggan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Pemeriksaan lanjut turut dilakukan secara menyeluruh di bahagian dapur rumah mangsa bagi memastikan tiada kebocoran lain," katanya.
Katanya, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan