Selasa, 1 Disember 2020

Ahli sindiket skim pelaburan LikeShare diburu

 Oleh MASZUREEN HADZMAN

SAIFUL Azly Kamaruddin (dua kanan) menunjukkan barangan rampasan sindiket judi dalam talian dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR - UTUSAN/ AMIR KHALID

KUALA LUMPUR: Perlu muat turun dua aplikasi ke komputer masing-masing bagi melengkapkan tugasan yang perlu diselesaikan secara dalam talian.

Malah mangsa juga perlu memindahkan sejumlah wang untuk dilaburkan agar mendapat lebih banyak tugasan bagi memperoleh lebih banyak ganjaran.

Itu modus operandi sindiket skim pelaburan LikeShare yang mengakibatkan dua individu kerugian kira-kira RM20,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, menyedari diri tertipu, dua mangsa iaitu seorang pengarah dan eksekutif sebuah syarikat swasta di sekitar Kuala Lumpur membuat laporan polis.

Jelasnya, pengarah syarikat iaitu seorang wanita tempatan mendakwa kerugian sebanyak RM9,888 manakala seorang lelaki pula sebanyak RM10,000.

“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melakukan serbuan di sebuah premis di ibu negara yang disyaki menjadi markas operasi skim berkenaan namun ia didapati ditutup sejak 9 November lalu.

“Siasatan mendapati, sindiket itu mengumpan dengan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa dan mangsa yang gelap mata menambah lagi jumlah pelaburan sebelum menyedari ditipu apabila wang yang ingin dikeluarkan sudah tiada,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saiful Azly memberitahu, siasatan dan risikan yang dilakukan berjaya mengenal pasti beberapa individu warga tempatan yang menjadi dalang skim pelaburan tersebut dan tindakan selanjutnya akan menyusul.

Dalam perkembangan berasingan Saiful Azly turut berkongsi tentang penahanan 38 individu menerusi dua serbuan ke atas tiga premis di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Sabtu lalu berhubung kegiatan perjudian secara dalam talian.

“Serbuan pertama dilakukan di dua unit kondominium di Jalan Kia Peng di sini dan menahan seramai sembilan individu yang terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita dan empat lelaki warga Taiwan berusia 20 hingga 40 tahun.

“Pihak polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan oleh sindiket berkenaan seperti telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, unit dekstop dan wang tunai berjumlah RM2,633,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam serbuan kedua pula, polis menahan 29 individu berusia 15 tahun hingga 40 tahun di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang dan merampas peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan perjudian dalam talian.

“Kesemua individu yang ditahan dalam serbuan pertama kini ditahan reman lima hari sehingga 1 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Individu dalam serbuan kedua pula direman empat hari sehingga 2 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: