KUALA LUMPUR: Sekumpulan pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tampil kreatif apabila menghasilkan inovasi studio lightboard dalam usaha memastikan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian lebih menarik dan berinteraktif.
Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Mekanikal, Mohamad Ezral Baharudin berkata, idea itu timbul apabila pensyarah sendiri berhadapan masalah untuk menyampaikan pengajaran membabitkan analisis berangka.
Katanya, sebelum pandemik COVID-19, kebiasaannya pensyarah akan menunjuk ajar setiap langkah analisis berangka menggunakan papan putih.
"Tetapi dalam keadaan kini yang memerlukan pengajaran disampaikan secara dalam talian, adalah penting bagi kami membangunkan satu mekanisme baharu yang dapat memperlihatkan keberadaan tenaga pengajar seperti belajar di dewan kuliah atau secara semuka serta penyampaian yang lebih interaktif.
"Jadi memandangkan kami daripada program kejuruteraan yang banyak menggunakan papan bertulis bagi memberikan penjelasan, kami perlu memikirkan teknik pengajaran interaktif dan boleh difahami oleh pelajar.
"Pada masa sama, pensyarah yang berdepan masalah ketidakpuasan mengajar kerana tidak dapat berinteraksi juga akan dapat diatasi dan akhirnya kami menjalankan kajian dan timbulnya idea untuk membangunkan lightboard ini," katanya.
Inovasi studio lightboard ini dibangunkan oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Mekanikal UniMAP, diketuai Dr Azuwir Mohd Nor, Dr Mohd Zakimi Zakaria, Prof Madya Dr Mohd Sazli Saad dan Mohamad Ezral Baharudin.
Beliau berkata, lightboard itu mempunyai empat elemen utama iaitu kamera untuk merakam, tahan lasak, sistem penataan cahaya dan komputer.
"Kami menggunakan perisian percuma Open Broadcaster Software Studio (OBS) untuk memproses dan menghantar gambar atau video kepada pelajar sama ada melalui Zoom, Webex dan Google Meet.
"Maklum balas pelajar sangat memberangsangkan malah mereka teruja dengan teknik pengajaran yang baharu kerana ia kelihatan seperti berada di hadapan tenaga pengajar itu sendiri.
"Pada semester lalu mereka tidak berpeluang melihat pensyarah tetapi pada semester ini, mereka boleh melihat fizikal kami di alam maya dan pada masa yang sama tidak ketinggalan dalam mencatat nota atau contoh yang kami kongsi dalam pengajaran," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Ezral berharap lebih ramai tenaga pengajar di luar sana dapat mengadaptasikan pengajaran menggunakan lightboard kerana penggunaannya adalah lebih berkesan terhadap pemahaman pelajar tetapi ia masih bergantung kepada topik subjek yang diajar.
"Inovasi ini sudah lama diperkenalkan tetapi penggunaannya masih belum meluas dan kami percaya dengan situasi terkini, penggunaan lightboard dalam pengajaran dalam talian akan menarik pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan