Ahad, 6 Disember 2020

Ayuh melancong secara bertanggungjawab - Nancy.

KUALA LUMPUR: Orang ramai disarankan melancong secara bertanggungjawab, selepas kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara, mulai Isnin ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata tekad demi membendung penularan wabak COVID-19 itu harus sentiasa menjadi pegangan, bagi mengelak sebarang penularan gelombang jangkitan baharu.

"Marilah kita buktikan kita mampu melawan COVID-19 dan melancong secara bertanggungjawab, demi membangunkan semula ekonomi pelancongan yang melalui cabaran amat besar tahun ini.

"Orang ramai dari pelbagai zon sekarang sudah boleh keluar untuk melancong dengan selamat berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang sepatutnya, tamat esok dilanjutkan hingga 20 Disember depan, kecuali tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Lanjutan PKPB susulan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu turut merangkumi Kuala Lumpur serta Sabah.

Bagaimanapun, pergerakan rentas negeri dan daerah dibenarkan di seluruh negara, kecuali kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa Isnin ini.

Nancy menaruh keyakinan bahawa penamatan PKPB di beberapa kawasan itu menaruh keyakinan berupaya menghidupkan semula pelancongan domestik.

"Matlamat ini dapat dicapai menerusi inisiatif gelembung perjalanan domestik yang sekarang dipermudahkan pergerakan meliputi semua zon tanpa perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Tiada ulasan: