Jumaat, 18 Disember 2020

Pulau Pangkor akan dibangunkan dengan pendekataan 'smart island'

IPOH: Kerajaan Negeri akan menggunakan pendekatan 'smart island' untuk membangunkan Pulau Pangkor melalui pengurusan sumber alam yang efektif serta berkesan dalam mengawal pencemaran.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata ia selari dengan pengiktirafan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai bermula pada 1 Januari 2020.

"Kerajaan Negeri mengharapkan pembangunan yang seiring dengan pertambahan kemasukan pengunjung, faktor alam semula jadi dan keindahan pulau akan sentiasa terpelihara.

"Justeru, Kerajaan Negeri akan menjadikan cabaran ini sebagai salah satu pendekatan untuk membangunkan Pulau Pangkor sebagai "smart island," katanya ketika sesi penggulungan belanjawan negeri 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani berkata, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau yang bebas dengan kenderaan berasaskan petroleum dan akan digantikan dengan kenderaan elektrik yang menggunakan teknologi hijau.

Beliau berkata, selain itu Kerajaan Negeri juga akan membangunkan kompleks jeti yang lebih selesa untuk menampung jumlah pengunjung yang semakin bertambah.

"Sebanyak RM15 juta sudah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan kerja-kerja awalan," katanya.

Tiada ulasan: