Jumaat, 18 Disember 2020

Lelaki ditahan curi benih kerang

SEKINCHAN: Jabatan Perikanan Selangor menahan seorang lelaki 38 tahun dan merampas 20 guni benih kerang bernilai RM15,000 yang dikutip secara haram, di Pantai Sungai Leman dekat sini, jam 4 petang semalam.

Pengarahnya, Abdul Rahman Abdul Wahab, berkata lelaki itu ditahan di kawasan tempat letak kereta di kawasan pantai berkenaan.

Katanya, 10 guni benih kerang ditemui berhampiran kenderaan lelaki itu, manakala 10 guni lagi dijumpai di dalam bonet.

" 20 guni anak kerang ini dianggarkan bernilai RM 15,000. Ia belum capai saiz benih kerang yang matang dan boleh mencecah harga yang lebih mahal.

"Tambahan pula, anak kerang terbabit belum melalui proses sisihan, jadi nilainya tidak tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya anak kerang berkenaan akan dibawa ke tempat lain untuk dibesarkan sebelum dibawa keluar dari Malaysia.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan nilai benih kerang, kenderaan dan peralatan mengutip benih kerang dianggarkan RM 20,000.

"Lelaki itu disiasat Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2003 Akta Perikanan 1985.

"Semua barang rampasan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor dan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: