Jumaat, 11 Disember 2020

Polis tak wajar menari dalam Tik Tok

BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran untuk tidak bermain aplikasi media sosial Tik Tok, ketika sedang bertugas kerana tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata perbuatan seperti menari di dalam aplikasi berkenaan tidak manis dilakukan oleh seseorang pegawai, mahupun anggota dalam sesebuah pasukan beruniform kerana perbuatan itu seolah-olah mengaibkan pakaian seragam PDRM.

"Ia tidak manis dan tidak cocok apabila anggota atau pegawai dalam unit beruniform melakukan sesuatu perbuatan menari dan ini sepatutnya dijadikan satu kesalahan tatatertib seolah-olah mengaibkan uniform PDRM.

"Uniform berwarna biru ini uniform keramat. Tidak manis kalau kita pakai uniform ini dan melakukan sesuatu perbuatan yang tidak cocok dengan budaya kerja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota PDRM di Bukit Aman.

Beliau berkata, isu Tik Tok dalam kalangan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya.

"Saya akan berbincang dengan Datuk Zamri bagi mengkaji perkara ini tentang baik dan buruknya. Mungkin saya akan keluarkan satu arahan berhubung perkara ini," katanya.

Sabtu lalu, seorang anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berdepan tindakan tatatertib selepas memuat naik video seperti aksi tarian menerusi aplikasi Tik Tok sewaktu memakai uniform operasi polis.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata perbuatan itu yang tular di media sosial menjejaskan imej jabatan dan kod etika PDRM. – BERNAMA

Tiada ulasan: