KUALA LUMPUR: Lapan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, menerima penghargaan selepas menolak sogokan semasa operasi membanteras judi atas talian pada Oktober lalu.
Serbuan Bahagian Siasatan Pencegahan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) itu susulan tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sindiket didalangi Addy Kanna dan Alvin Goh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata tindakan semua anggota terbabit menolak rasuah menunjukkan masih ramai pegawai dan anggota polis yang sedar tanggungjawab yang dipikul dan menjunjung tinggi prinsip integriti, dalam menggalas amanah.
"Saya berasa amat bangga dan berbesar hari untuk menyampaikan sendiri surat penghargaan kepada lapan anggota warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari JSJ Kuala Lumpur yang disogok sejumlah wang semasa operasi judi.
"Lapan anggota terbabit terdiri dari dua kumpulan ditawarkan dengan wang tunai RM17,000, manakala kumpulan kedua pula ditawarkan wang tunai RM21,945 sebagai rasuah untuk tidak menangkap suspek-suspek terbabit. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada mereka," katanya semasa Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, hari ini.
Abdul Hamid berkata, anggota terbabit yang masih berpegang teguh terhadap prinsip integriti harus dijadikan teladan untuk semua warga PDRM supaya tidak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah yang boleh merosakkan nama pasukan dan masa depan mereka.
Dalam operasi berkenaan, empat dari lapan anggota terbabit memeriksa tujuh lelaki warga China di ruang tamu sebuah hotel di ibu negara, sebelum dua daripada mereka mendekati seorang anggota dan cuba menyogok.
Dalam kejadian kedua, semasa operasi dilakukan pada tarikh yang sama membabitkan tiga anggota yang memeriksa seorang lelaki tempatan serta tujuh lelaki dan seorang wanita warga China juga ditawarkan wang tunai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan