Astro Awani
Kepelbagaian
kaum dan agama di negara ini perlu dijadikan sebagai satu kekuatan
untuk membina Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini perlu dijadikan sebagai satu
kekuatan untuk membina Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Dalam perutusan khas
sempena sambutan Hari Krismas hari ini, beliau berkata, sejarah lampau
menunjukkan kewujudan pelbagai kaum dan agama yang saling menghormati
antara satu sama lain, merupakan sumber keutuhan dan kemajuan sesebuah
tamadun.
Beliau
berkata, keadaan itu dapat dilihat dalam sejarah keharmonian hubungan
antara masyarakat Kristian dan Islam di Andalusia suatu ketika dulu.
“Keharmonian
dan hubungan baik antara masyarakat pelbagai agama dan budaya pada
ketika itu telah mendorong Andalusia mencipta kemajuan dalam pelbagai
bidang,” katanya lagi.
Dalam
pada itu Perdana Menteri berkata, kemeriahan sambutan Hari Krismas
tahun ini tentu sekali berbeza kerana negara masih lagi diuji dengan
situasi Pandemik COVID-19.
Beliau
berkata, peluang untuk menziarahi ahli keluarga dan sahabat handai agak
terhad, dan majlis rumah terbuka untuk berjumpa sanak saudara dan rakan
taulan juga perlu dibuat secara sederhana.
“Bermula
7 Disember kerajaan telahpun membenarkan rakyat untuk melakukan rentas
negeri dan daerah ke seluruh negara kecuali di kawasan/zon Perintah
Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Nasihat
saya, demi kepentingan dan kebaikan bersama, kita sambutlah secara
sederhana perayaan Hari Natal kali ini dengan mematuhi garis panduan
atau SOP ditetapkan,” katanya lagi.
Perdana
Menteri mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus mematuhi prosedur
pengambilan suhu badan, jaga penjarakan fizikal, dan elakkan dari
bersalaman, sebaliknya memadai sekadar tunduk dan letakkan tangan di
dada seperti tanda hormat.
Selain itu, beliau turut mengingatkan rakyat untuk mengamalkan norma baharu lain seperti kerap mencuci tangan atau gunakan hand sanitizer serta memakai pelitup muka dengan betul.
“Bagi
tuan rumah yang menerima tetamu, bersihkan rumah anda dengan kerap.
Jaga mak, ayah dan ahli keluarga kita yang telah berusia atau yang
kurang sihat, kerana mereka lebih berisiko untuk terdedah kepada
jangkitan COVID-19.
“Bagi yang bergejala
seperti demam atau selsema, duduklah di rumah. Biarlah kita ambil
langkah yang lebih berhati-hati supaya kita dan orang di sekeliling kita
selamat dari dijangkiti wabak COVID-19 ini,” katanya lagi.
Muhyiddin
turut mendoakan para petugas barisan hadapan, anggota keselamatan yang
bertugas di perbatasan negara, dan rakyat Malaysia yang berada di luar
negara, supaya dapat menyambut Krismas dengan penuh kegembiraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan