Jumaat, 25 Disember 2020

Perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan, dimodenkan - Ka Siong

BH ONLINE
Perkhidmatan feri di Pulau Pinang, Rapid Ferry, perjalanan diantara Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dan Pangkalan Tun Raja Uda, Georgetown. - Foto fail NSTP
Perkhidmatan feri di Pulau Pinang, Rapid Ferry, perjalanan diantara Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth dan Pangkalan Tun Raja Uda, Georgetown. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan yang moden demi keselamatan dan keselesaan penumpang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata beberapa pihak melahirkan perasaan kesal atas keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang kian meningkat disebabkan faktor feri berusia 47 tahun yang perlu diselenggara secara purata sebulan sekali.

"Kita mahu tegaskan bahawa keselamatan penumpang adalah keutamaan kami di Kementerian Pengangkutan (MOT). Oleh itu, kementerian sudah membuat keputusan untuk memodenkan perkhidmatan feri ini demi keselamatan dan keselesaan penumpang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar, bermula pada tahun 1894.

Sebelum ini dilaporkan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang itu akan dihentikan pada 31 Disember ini.

Ka Siong berkata, beliau sekali lagi hari ini sudah menerangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenai perancangan kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf feri sedia ada, mengambil kira keselamatan, daya tahan dan keselamatan penumpang feri bagi memastikan perkhidmatan ini akan terus dinikmati oleh rakyat tempatan termasuk pelancong.

"Saya amat menghargai pemahaman Ketua Menteri dalam perkara ini dan kami turut berharap perkara ini dapat diteruskan demi kebaikan semua pihak," katanya.

Ka Siong berkata, fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula dari 1 Januari ini dan diikuti dengan dua pengangkut kenderaan yang akan hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal), yang akan beroperasi mulai 2022.

Pada 17 Disember lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta sudah diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada tahun hadapan dan 2022.

Sebagai langkah sementara, Ka Siong berkata, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menyediakan dua bot penumpang laju untuk mengangkut penumpang serta mendapatkan perkhidmatan feri milik Prasarana untuk mengangkut kenderaan dua roda dalam usaha membantu proses peralihan ke kapal baharu dalam tempoh berkenaan.

"PPSB juga akan menawarkan perkhidmatan bot laju secara percuma kepada penumpang untuk dua minggu mulai 1 Januari ini," katanya.

Bagi mengekalkan sejarah ikonik Pulau Pinang, Ka Siong berkata, pihaknya akan mempertimbangkan idea sebagaimana yang dicadangkan oleh beberapa pihak untuk menjadikan feri sedia ada sebagai restoran terapung, muzium atau pelayaran pelancongan yang akan dapat memperingati sumbangan feri Pulau Pinang kepada identiti kebudayaan dan warisan negeri berkenaan.

Beliau berkata, dijangkakan lebih ramai pengguna kenderaan akan menggunakan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk perjalanan antara tanah besar di Seberang Perai dan pulau, yang lebih selamat, cepat dan murah berbanding feri. - BERNAMA

Tiada ulasan: