Jumaat, 25 Disember 2020

Aliran trafik terus meningkat tengah malam ini, esok

BH ONLINE
Jumlah kenderaan meningkat walaupun bukan pada waktu puncak ketika tinjauan trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya di sini. Keadaan trafik dijangka bertambah sesak, apabila orang ramai mengambil peluang bercuti sempena cuti perayaan bersambung cuti hujung minggu. - Foto Danial Saad
Jumlah kenderaan meningkat walaupun bukan pada waktu puncak ketika tinjauan trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Seberang Jaya di sini. Keadaan trafik dijangka bertambah sesak, apabila orang ramai mengambil peluang bercuti sempena cuti perayaan bersambung cuti hujung minggu. - Foto Danial Saad

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan peningkatan aliran trafik di semua arah iaitu di utara, selatan dan timur mulai tengah malam ini dan esok sempena cuti sambutan Hari Krismas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias, berkata pihaknya menganggarkan peningkatan aliran trafik sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding aliran trafik pada hari biasa.

Beliau berkata, aliran trafik ketika ini bagaimanapun terkawal kerana dipercayai keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung tidak begitu ketara seperti musim perayaan sebelum ini.

"Ada setengah keluarga sudah berada atau pulang ke kampung halaman lebih awal memandangkan sekolah-sekolah memang sudah diberi cuti lebih awal sehingga ke awal tahun 2021.

Saya menasihatkan orang ramai tidak leka bahawa perjuangan menentang pandemik COVID-19 masih belum lagi berakhir dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dilaksanakan," katanya kepada Bernama.

Azisman turut menyarankan orang ramai duduk di rumah dan tidak keluar rumah sekiranya tiada sebarang urusan rasmi walaupun rentas negeri dan daerah dibenarkan.

"Sekiranya tidak, jalan raya akan sesak dan rantaian pandemik ini tidak dapat diputuskan sepenuhnya," katanya.

Hari ini, tinjauan Bernama mendapati dua lebuh raya utama iaitu di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta mengalami peningkatan dari segi jumlah kenderaan yang dipercayai menghala ke utara dan timur untuk pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan Hari Krismas.

Peningkatan lalu lintas itu dilihat sekitar 4 petang tadi berikutan orang ramai mula pulang dari bekerja dan dalam perjalanan untuk keluar dari ibu negara untuk ke destinasi yang dituju. – BERNAMA

Tiada ulasan: