Khamis, 24 Disember 2020

Perjanjian peroleh vaksin COVID-19 Malaysia terbatal jika langgar syarat

BH ONLINE
Malaysia tertakluk kepada perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin COVID-19. Gambar hiasan
Malaysia tertakluk kepada perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin COVID-19. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) – Malaysia mungkin berdepan risiko pembatalan perjanjian pembelian dan perolehan vaksin COVID-19 sekiranya negara didapati melanggar syarat kerahsiaan ditetapkan syarikat pengeluar vaksin.

Menjelaskan perkara itu, seorang peguam, Wan Azmir Wan Majid, berkata jika syarat kerahsiaan atau perjanjian kerahsiaan (NDA) adalah cadangan daripada pengeluar vaksin, negara tiada pilihan selain mematuhinya.

Beliau berkata, jika berlaku pelanggaran syarat ditetapkan, pihak yang memungkiri boleh dikenakan tindakan dan perjanjian utama (perjanjian pembelian vaksin) boleh dibatalkan.

"NDA adalah satu kontrak yang termaktub terma merahsiakan sesuatu perkara atau perbuatan. Kesan obligasi kerahsiaan yang tidak dirahsiakan akan juga termaktub dalam NDA itu.

"Semua terma akan tertulis dalam NDA termasuk akibat kemungkiran (ingkar) kepada NDA itu," katanya.

Wan Azmir juga tidak menolak kemungkinan kerajaan berdepan risiko lain termasuk disaman pengeluar vaksin jika didapati melanggar syarat itu.

Justeru, beliau berkata, perlu difahami ada perkara boleh didedah kepada umum dan ada yang perlu dirahsiakan mengikut syarat dalam perjanjian yang dipersetujui.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan perolehan vaksin COVID-19 di Putrajaya hari ini, berkata beliau sedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan pemerolehan vaksin COVID-19, termasuk kosnya secara terperinci.

Bagaimanapun, beliau berkata ahli jawatankuasa itu perlu mematuhi syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin kerana Malaysia tertakluk dengan syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat terbabit.

Katanya, syarat kerahsiaan itu dibuat syarikat pengeluar vaksin, justeru jika berlaku pelanggaran syarat, ia akan menjejaskan perjanjian dengan syarikat terbabit.

Isu berkaitan pemerolehan vaksin COVID-19 turut mendapat perhatian masyarakat khususnya dalam kalangan pengguna media sosial yang antara lain mahu kerajaan lebih telus dengan mendedahkan perjanjian pemerolehan vaksin. - BERNAMA

Tiada ulasan: