KUANTAN: Kerajaan negeri bersedia untuk meneruskan penguatkuasaan pengosongan tanah yang ditanam dengan durian Musang King secara haram di sekitar Raub, dekat sini, dalam tempoh terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, selepas Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri.
Beliau mengakui kerajaan negeri bersyukur dengan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi itu dan bersedia untuk meneruskan operasi penguatkuasaan pengosongan tanah terbabit pada bila-bila masa sahaja.
"Tiada lagi tempoh masa diberikan kepada semua pekebun terbabit yang meneroka tanah itu secara haram.
"Pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, kita bersetuju bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilakukan dalam tempoh segera," katanya mengulas keputusan dibuat Mahkamah Tinggi itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penguatkuasaan ke atas kebun durian Musang King itu akan dilaksanakan seperti kes penerokaan tanah secara haram di Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan